ANTARA aktiviti diadakan menerusi Projek CINTA. FOTO Mohd Khairul Helmy Mohd Din
Rizanizam Abdul Hamid


“DAH lama saya mahu ke sekolah, tak sangka akhirnya hari ini, Allah makbulkan doa saya untuk merasai nikmat persekolahan walaupun bukan berada di dalam bilik darjah.”

Demikian luahan seorang daripada 65 kanak-kanak kurang bernasib baik yang menerima bantuan pendidikan percuma selama setahun hasil kerjasama badan bukan kerajaan (NGO), Buku Jalanan Chow Kit dan Rizq Islamic School (RIS).

Kanak-kanak perempuan berusia 10 tahun yang enggan dikenali itu berkata, walaupun tidak dapat bersekolah seperti rakan sebayanya yang lain, dia gembira kerana masih ada pihak yang prihatin dengan nasib mereka.

“Selama ini, saya selalu dengar kawan-kawan cerita seronok belajar di sekolah kerana suasananya berbeza daripada belajar di rumah.

“Hari ini baru saya dapat rasa, agaknya beginilah keadaan di sekolah bila ada guru yang memberi tunjuk ajar di samping aktiviti lain yang menyeronokkan,” katanya yang ditemui pada program kemanusiaan, Projek CINTA anjuran RIS di Chow Kit, malam tadi.

Sementara itu, Pengasas Buku Jalanan Chow Kit, Siti Rahayu Baharin berkata, 35 daripada 30 kanak-kanak berusia antara empat hingga 12 tahun sememangnya tidak dapat bersekolah kerana tidak mempunyai dokumen diperlukan untuk mendaftar persekolahan.

“Kanak-kanak ini memang lahir di sini tetapi status kewarganegaraan ibu bapa menyebabkan mereka tidak boleh didaftarkan di institusi pendidikan rasmi berbanding bakinya 30 lagi yang bersekolah kerajaan.

“Sebab itu, bila ada pihak yang sudi memberikan pendidikan percuma seperti hari ini, saya amat menghargainya demi masa depan anak-anak kecil ini yang sentiasa ‘dahagakan’ ilmu pengetahuan untuk jaminan masa depan mereka,” katanya.

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif RizQ Educare, Dr Rizq Muhammad Syazwan Mohd Rosmin berkata, Projek CINTA adalah sebahagian daripada inisiatif di bawah pertubuhan amal RIS iaitu RIZQ Mercy untuk membawa perubahan dalam kehidupan kanak-kanak kurang bernasib baik.

“Projek di bangunan Buku Jalanan Chow Kit ini akan mengumpulkan 150 kanak-kanak kurang bernasib baik di sekitar Kuala Lumpur dengan program pendidikan dikendalikan guru RIS bermula jam 8.30 sehingga 10.30 malam.

“Kelas ini akan diadakan setiap bulan selama setahun dengan pembahagian lima elemen utama untuk memastikan pembangunan diri kanak-kanak yang holistik,” katanya.

Beliau berkata, sesi pembelajaran akan dilakukan dengan cara yang menyeronokkan dan kreatif.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 April 2019 @ 5:23 PM