Fauziah (kanan) reda dengan kejadian menimpa cucunya, Muhammad Aidil Amsyar (kiri). FOTO Muhaizan Yahya
Muhammad Apendy Issahak


“KAMI sekeluarga reda dengan apa yang berlaku dan tidak menyalahkan mana-mana pihak,” kata Fauziah Mohd, 55.

Fauziah adalah nenek kepada Muhammad Aidil Amsyar Muhammad Hafizuddin bayi berusia 18 bulan yang meninggal dunia ketika dalam jagaan pengasuhnya di Taman Kuala Kangsar, Padang Rengas semalam.

Guru Kelas Agama dan Fardu Ain (KAFA) itu berkata, dia mengetahui mengenai kejadian menimpa cucu keduanya itu 9.30 pagi semalam apabila dihubungi menantunya, Noorsyaqinas Rosni, 25, yang menangis sambil memberitahu Muhammad Aidil Amsyar mesra dipanggil adik sudah tiada.

“Saya terus bergegas ke Hospital Kuala Kangsar untuk mengetahui apa sebenarnya berlaku.

“Hasil bedah siasat doktor memaklumkan cucu saya mempunyai masalah pada organ dalaman dan mempunyai jantung tidak kelihatan normal kerana sedikit besar tidak seperti kanak-kanak seusianya,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Stor hari ini.

Menurutnya, mereka sekeluarga terkejut apabila dimaklumkan masalah yang dialami arwah cucunya itu kerana Muhammad Aidil Amsyar kelihatan seperti kanak-kanak lain.

“Kami terima apa yang berlaku dan kejadian Muhammad Aidil Amsyar yang dikatakan jatuh akibat memanjat jeriji tingkap di rumah pengasuhnya tiada kaitan dengan kematiannya.

“Tuhan bagi pinjam adik sekejap saja, hanya setahun enam bulan kami reda,” katanya.

Fauziah berkata, mereka memohon semua pihak tidak menularkan berita tidak benar dengan membuat pelbagai andaian sendiri kerana perasaan keluarga kedua-dua pihak selain pengasuh yang juga rakan menantunya perlu dijaga.

Menurutnya, jenazah cucunya itu selamat dikebumikan 1 pagi hari ini di tanah perkuburan Kampung Stor dan ahli keluarga mengadakan kenduri doa selamat dan tahlil malam ini.

Berita berkaitan

Bayi maut terjatuh panjat jeriji tingkap

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 April 2019 @ 5:23 PM