Dr Mohd Shukri bergambar bersama graduan pada Majlis Graduasi MSU College. FOTO Roslin Mat Tahir
Faliq Lajim
am@hmetro.com.my


ANAK tukang jahit antara graduan cemerlang yang berjaya menggenggam diploma dalam Majlis Graduasi ke-23 Kumpulan MSU College di Shah Alam hari ini.

Graduan Diploma Reka Bentuk, S Joann Priyanka, 25, memperoleh Purata Nilai Gred Kumulatif (CGPA) 4.0 sekali gus melayakkannya menerima Anugerah Emas Presiden.

Malah sebelum mengakhiri ucapannya ketika menerima anugerah itu, Joann Priyanka menyampaikan sebuah lagu Shila Amzah bertajuk Memori Tercipta.

Joann Priyanka berkata, sumber utama inspirasi memperoleh kejayaan itu hasil semangat ibunya, Josephine Francis, 54, yang sentiasa bekerja keras bagi memastikannya melanjutkan pengajian.

“Saya bukan datang daripada keluarga senang. Ketika mahu melanjutkan pelajaran, ibu berpesan supaya tidak memikirkan pasal wang ringgit sebaliknya fokus kepada pelajaran.

“Jika ada masa lapang, saya membantu ibu di kedai jahit bagi mendapatkan duit poket untuk belajar dan saya sudah didedahkan dengan asas menjahit sejak berusia 13 tahun.

“Menerusi kemahiran jahitan itu, ia banyak membantu mengaplikasikan saya dalam pelajaran seperti kemahiran melukis,” katanya yang berasal dari Seremban, Negeri Sembilan.

Pada majlis itu, Pengerusi Kumpulan MSU College yang juga Pro Canselor MSU, Tan Sri Dr Wan Mohd Zahid Mohd Noordin menyerahkan diploma dan sijil kepada 744 graduan membabitkan pelbagai jurusan.

Turut hadir Presiden MSU dan Kumpulan MSU College, Prof Tan Sri Dr Mohd Shukri Ab Yajid dan Naib Canselornya, Prof Puan Sri Dr Junainah Abd Hamid.

Dalam pada itu, Joann Priyanka berkata, aktiviti yang disertainya ketika di MSU College cawangan Seremban banyak membantunya membuang sifat malu.

“Ketika di kolej, saya pernah menjadi Timbalan Yang Dipertua (TYDP) Majlis Perwakilan Pelajar.

“Saya banyak berinteraksi dengan penuntut lain sekali gus membina keyakinan diri,” katanya yang kini melanjutkan pengajian dalam Ijazah Sarjana Muda (Kepujian) Reka Bentuk Permainan dan Animasi di MSU Shah Alam.


Joann Priyanka berkongsi kejayaan bersama ibu bapanya, S Shunmugamnathan dan F Josephine. FOTO Roslin Mat Tahir

Selain 590 graduan diploma dan 154 graduan sijil, seramai 36 anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) daripada program Diploma Pengurusan Hotel turut menerima skrol masing-masing.

Sementara itu, Mohd Shukri berkata, MSU College menawarkan 40 peratus program pengajian berasakan Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET).

“Kami sedang dalam perancangan untuk meningkatkan lagi 10 peratus program pengajian berasaskan TVET.

“Usaha ini dapat melahirkan ramai graduan berkemahiran tinggi yang boleh menyumbang kepada pembangunan negara,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 April 2019 @ 5:40 PM