KECEDERAAN dialami jururawat selepas terkena bilah kipas yang patah dalam kejadian di SMK Taman Damai Jaya, Skudai pada 15 April lalu. (Gambar kecil) Bilah kipas yang patah. FOTO Ihsan FB Malaysian Response Team
Mohd Sabran Md Sani
sab@hmetro.com.my


“MANGSA kini berehat di rumahnya,” kata Pengarah Kesihatan Johor, Dr Selahudeen Abd Aziz berhubung tular kejadian seorang jururawat cedera di muka akibat terkena bilah kipas yang patah.

Ketika dihubungi Harian Metro, hari ini, Dr Selahudeen mengesahkan kejadian menimpa kakitangannya pada Selasa lalu.

“Ya benar, kejadian berlaku Selasa lalu. Jururawat berkenaan sudah diberi rawatan di klinik kesihatan berhampiran tempat kejadian dan kini berehat di rumah.

“Kami memantau perkembangannya dari semasa ke semasa. Apa yang penting sekarang ini adalah kesihatannya kembali pulih,” katanya yang enggan mengulas lanjut.

Sejak semalam, tular gambar seorang jururawat yang cedera di muka akibat terkena bilah kipas patah yang difahamkan berlaku di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taman Damai Jaya, Skudai di sini,

Kejadian itu mendapat perhatian netizen selepas tiga keping gambar termasuk kesan kecederaan di muka jururawat dan bilah kipas patah dikongsikan.

Sekeping gambar menunjukkan jururawat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) masih beruniform mendapatkan rawatan petugas kesihatan.

Kelihatan juga sekeping gambar menunjukkan bahagian mata jururawat terbabit dibaluti kain dengan bahagian muka dan baju mempunyai kesan darah.

Gambar ketiga memaparkan bilah kipas yang kelihatan uzur dipercayai punca kecederaan dialami jururawat itu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 April 2019 @ 5:58 PM