Pertandingan Kuantan Fun Cat Show yang disertai pemilik kucing di Kuantan. (Gambar kecil) Kucing baka Sphynx. FOTO Farizul Hafiz Awang
Shahrinnahar Latib
am@hmetro.com.my


GARA-gara memiliki seekor kucing kelihatan togel tanpa bulu, pemiliknya pernah dimarahi kerana dituduh mencukur bulu haiwan berkenaan.

Mohd Yusri Shaari, 38, berkata kucing baka Sphynx dimilikinya itu sering kali disalah anggap setiap kali membawa haiwan peliharaannya menyertai beberapa pertandingan kucing.

Bagaimanapun, keunikan kucing jantan dinamakan ‘Alam’ itu menarik perhatian orang ramai ketika Kuantan Fun Cat Show, hari ini, meskipun setengah pengunjung berasa geli untuk memegang haiwan berkenaan.

“Sebenarnya, kucing ini sama saja seperti kucing lain cuma ia unik kerana tidak mempunyai bulu dan suhu badannya juga sedikit panas berbanding kucing biasa.

“Tetapi, dari segi penjagaan dan pemakanannya tidak rumit serta sangat manja terutama ketika di samping tuannya,” katanya ketika ditemui pada pertandingan itu di Kuantan, hari ini.

Selain ‘Alam’, Mohd Yusri turut membawa anak kucing dari baka sama serta dua ekor kucing Benggal untuk menyertai pertandingan anjuran Terengganu Cat Lovers Club (TCLC) itu.

Demi menyertai pertandingan itu, Mohd Yusri sanggup menempuh perjalanan dari Tampin, Negeri Sembilan bersama kucingnya selain sudah dianggap perkara biasa.

Dalam pertandingan itu, seramai 50 peserta mengambil bahagian yang kebanyakannya datang dari luar Pahang termasuk Kuala Lumpur dan Selangor.

Penganjur pertandingan, Nik Irwan Nik Mohamad berkata, pertandingan itu akan diadakan di tujuh lokasi di seluruh negara dan Kuantan adalah lokasi pertama.

“Penyertaan diterima daripada peminat kucing amat menggalakkan, malah ada yang sanggup datang dari jauh untuk menyertainya,” katanya.

Beliau berkata, beberapa syarat ditetapkan bagi menyertai pertandingan itu termasuk had minimum kucing yang mahu dipertandingkan adalah empat bulan dan sudah mendapatkan sekurang-kurangnya dua kali suntikan vaksin.

“Peraturan itu adalah perkara biasa ditetapkan mana-mana penganjur pertandingan kucing kerana kita tidak mahu kucing lain terdedah dengan risiko penyakit dan sebagainya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 April 2019 @ 6:05 PM