Mohamed Azmin (tengah) bersama peneroka di Palong 8 hari ini. FOTO Bernama
Azzman Abdul Jamal


BAYARAN Pinjaman Sara Hidup dan Pendahuluan Hasil RM1,500 akan diteruskan, kata Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Beliau berkata, perkara itu diputuskan dalam persidangan Parlimen baru-baru ini selepas beliau mengadakan perjumpaan bersama Perdana Menteri (PM), Tun Dr Mahathir Mohamad beberapa kali sebelum itu.

“Memang betul sebelum ini Lembaga Pengarah FELDA mencadangkan supaya Pinjaman Sara Hidup dan Pendahuluan Hasil dikurangkan kepada RM1,000.

“Orang ramai perlu faham, mereka ini adalah golongan profesional dan memberi cadangan itu berdasarkan kedudukan kewangan semasa FELDA.

“Bagaimanapun, PM tidak bersetuju dengan cadangan itu sebab keadaan ekonomi yang lemah pada masa ini terus menjejaskan dan memberi tekanan kepada peneroka malah beliau mengarahkan sejumlah wang diperuntukkan untuk terus menjaga kebajikan warga FELDA,” katanya selepas menghadiri Program Rapat Perdana Peneroka FELDA Wilayah Raja Alias di Palong 8, di Jempol hari ini.

Turut hadir Timbalan Menteri Hal Ehwal Ekonomi Dr Mohd Radzi Md Jidin; Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pelaburan, Perindustrian, Keusahawan, Pendidikan dan Modal Insan negeri Dr Mohamad Rafie Ab Malek; Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pembangunan Luar Bandar Ismail Ahmad dan Pengarah Besar FELDA Datuk Dr Othman Omar.

Pada program itu Mohamed Azmin turut menerangkan kepada warga peneroka mengenai kertas putih “Ke Arah Kelestarian FELDA” yang dibentangkan 10 April lalu di Dewan Rakyat kepada warga peneroka.

Sementara itu, Mohamed Azmin berkata, kerajaan juga komited untuk menyiapkan 5,000 unit perumahan generasi baru FELDA di seluruh negara yang kini sudah capai tahap pembinaan 70 peratus dan ke atas.

“Sebagai peringkat permulaan, kita tetapkan projek yang mencatatkan kemajuan 70 peratus akan disiapkan tahun ini juga membabitkan kos RM250 juta.

“Bagi Negeri Sembilan, ia membabitkan 839 unit rumah dengan peruntukan kos RM90 juta,” katanya.

Ditanya mengenai pengumuman PM berhubung penerusan projek Bandar Malaysia, beliau berkata, projek pembangunan itu tidak akan membabitkan peruntukan daripada kerajaan sebaliknya dipacu oleh sektor swasta.

“Projek ini bukan saja pembangunan hartanah komersial dan perumahan tetapi ia satu pembangunan yang strategik dan diyakini mampu menarik pelabur asing dalam usaha meningkatkan aliran tunai negara.

“Kita berpegang dengan prinsip bahawa ia mesti dilakukan dengan tender terbuka dan kita mendapat maklumat antara sebab pentadbiran lama menamatkan perjanjian asal itu atas pertimbangan untuk dapat imbuhan tambahan secara tidak sah,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 April 2019 @ 6:43 PM