Antara wanita warga asing yang ditahan semalam. FOTO Ihsan JIM


BERSELINDUNG di sebalik kawasan perumahan awam, sebuah rumah yang terletak di Taman Bukit Serdang, Seri Kembangan dikesan dijadikan tempat tinggal wanita warga asing yang dipercayai bekerja di sebuah pusat hiburan sebagai pelayan pelanggan (GRO).

Ia diketahui ketika serbuan oleh Bahagian Operasi Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Putrajaya semalam selepas mendapat aduan awam mengenai wanita warga asing yang mencurigakan di kediaman terbabit.

Ketua Pengarah JIM, Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata, dalam serbuan itu pihaknya memeriksa seorang lelaki tempatan dipercayai penjaga rumah dan lapan wanita warga asing.

“Hasil pemeriksaan terperinci, JIM menahan lapan wanita warga Vietnam manakala seorang lelaki warga Malaysia dikeluarkan Borang 29 (Saman Pada Saksi) untuk hadir ke Ibu Pejabat JIM Putrajaya bagi tujuan membantu siasatan kes,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, risikan dilakukan beberapa minggu lalu oleh Unit Risikan Operasi JIM Putrajaya.

“Hasil risikan mempercayai semua wanita warga Vietnam terbabit bekerja di pub berhampiran rumah mereka serta menjalankan aktiviti tidak bermoral.

“Hal ini dikukuhkan lagi dengan penemuan kondom oleh anggota operasi di kediaman terbabit.

“Selain dari rumah itu, sebuah pondok pengawal di kawasan perumahan sekitar Puchong juga turut diserbu semalam.

“Hasil pemeriksaan mendapati tiga pengawal keselamatan warga asing yang lengkap berpakaian seragam tiada dokumen pengenalan diri,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 April 2019 @ 6:57 PM