Skip this ad x
Antara kenderaan berat yang ditahan dalam Ops Khas JPJ hari ini. FOTO Ihsan JPJ
Mohd Husni Mohd Noor


LIMA puluh lori dan treler ditahan menerusi Ops Khas Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) hari ini kerana melanggar pelbagai kesalahan mengikut Akta Pengangkutan Awam Darat (APAD) 2010 dan Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Ketua Pengarah JPJ Datuk Seri Shaharuddin Khalid berkata, operasi membabitkan laluan Bukit Tagar - Dengkil - Nilai itu disertai 13 pasukan masing-masing Ibu Pejabat JPJ Putrajaya, Kuala Lumpur dan Selangor.

Beliau berkata, operasi besar-besaran itu dilakukan selepas pihaknya menerima banyak aduan awam khususnya membabitkan lori yang membawa lebih muatan di jalan raya.

“Sebanyak 20 lori ditahan kerana melanggar APAD 2010 selain membawa lebih muatan.

“Selain itu 30 lori lagi ditahan mengikut APJ 1987 kerana meletakkan kenderaan di lorong kecemasan, tiada lesen memandu dan tidak memiliki lesen kenderaan perdagangan (GDL),” katanya pada sidang media selepas mengetuai ops khas itu hari ini.

Dalam pada itu beliau menegaskan operasi khas hari ini bukan dilakukan susulan isu penahanan anggota JPJ Pulau Pinang sebaliknya ia hanyalah operasi biasa.

“Kita hanya mahu menguatkuasa undang undang. Sama ada ia ada kaitan dengan tangkapan terhadap anggota JPJ berkenaan, itu tidak relevan di sini.

“Saya ingin jelaskan operasi hari ini bukan dilaksanakan kerana urusan lain tapi sememangnya sudah dirancang lebih awal,” katanya.

Sementara itu, Shaharuddin berkata, setakat hari ini, 13,745 kes lebih muatan dilaporkan di seluruh negara membabitkan kutipan kompaun RM1.7 juta.

“Jumlah kes yang dilaporkan itu menggambarkan kesalahan ini serius.

“Ia perlu ditangani bagi mengelak gangguan kepada pengguna jalan raya lain,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 April 2019 @ 7:16 PM