Redzuan Muharam
redzuan.muharam@hmetro.com.my


FESYEN Vaganza Amal 2019 Sindrom Down mendapat pengiktirafan Malaysia Book of Records (MBOR) dalam acara pertunjukan fesyen di Kuala Lumpur hari ini.

Sijil pengiktirafan itu disampaikan wakil MBOR, Siti Hajar Johor kepada Presiden Persatuan Sindrom Down Malaysia (PSDM) Hanizan Hussin.

Pengiktirafan itu diberi atas kejayaan penganjur menghimpunkan 43 anak istimewa kategori Sindrom Down bersama 30 selebriti tempatan dalam satu acara.

Hanizan berkata, pihaknya bersyukur dengan pencapaian itu dan gembira kerana dapat menjalin kerjasama dengan pereka fesyen tempatan, Anas Abdullah yang menghasilkan koleksi pakaian untuk diperagakan anak istimewa dan selebriti.

Hanizan turut berterima kasih kepada semua pihak khasnya penyumbang dan individu perseorangan yang memberi sokongan menerusi pembelian meja.

“Acara ini diadakan dengan matlamat mengumpul dana bagi menampung kos pembinaan kemudahan baru iaitu dua bangunan dua tingkat yakni bengkel dan rumah perlindungan yang boleh menempatkan sekurang-kurangnya 25 anak Sindrom Down.

“PSDM sudah mengumpul RM200,000 menerusi penganjuran Konsert Amal Sindrom Down dan Majlis Minum Petang pada November 2017 namun jumlah itu tidak cukup memandangkan kos pembinaan itu dianggarkan RM500,000.

“Bagi mencari dana tambahan, kita anjurkan acara ini membabitkan anak istimewa berusia empat hingga 42 tahun dan ia dapat direalisasikan dengan kerjasama selebriti tempatan,” katanya.

Sementara itu, Anas berkata, dia gembira kerana dapat menjalin kerjasama dengan PSDM sekali gus mewakili pereka tempatan dalam menganjurkan acara berkenaan.

Katanya, bukan mudah menghimpunkan selebriti dan anak istimewa dalam satu acara namun bersyukur kerana semua yang dirancang berjalan lancar.

“Ini kali pertama saya terbabit secara langsung dalam acara sebegini yang dianjurkan hasil idea Presiden PSDM.

“Pembabitan dalam acara ini bukan kerana saya mempunyai anak Sindrom Down tetapi rasa tanggungjawab sebagai pereka kerana di barat mereka diiktiraf.

“Jadi, saya percaya mereka mampu berdikari jika diberi peluang dan saya berharap pertunjukan fesyen ini menjadi acara tahunan dengan pembabitan lebih ramai pereka tempatan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 April 2019 @ 8:36 PM
Anak istimewa dan selebriti bergambar selepas selesai program. FOTO Hafiz Sohaimi