DUA beranak, Rahemah (gambar kecil atas) dan Noradawiah (gambar kecil bawah) maut dalam kemalangan di Lebuh Raya Pantai Timur 2, dekat Kerteh. FOTO Rosli Ilham

Rosli

DUA beranak maut, manakala dua ahli keluarga cedera selepas kereta yang mereka naiki terbabit dalam kemalangan di Kilometer 312, Lebuh Raya Pantai Timur 2, LPT2, dekat Kerteh, Chukai, hari ini.

Dalam insiden 5.40 petang itu, Rahemah Daud , 61, dan anaknya Noradawiah Salihudin, 26, beralamat di Taman Perumahan PDRM Kota Jaya, Kota Tinggi, Johor meninggal dunia di tempat kejadian.

Pemandu kereta dinaiki mangsa, Samsul Fajeri Sudarman, 23, bersama ibunya, Rohani Daud, 56, yang dipercayai adik kepada Rahemah dan berasal dari batu 8 Gambang, Kuantan pula dilaporkan cedera.

Kemalangan itu dipercayai berlaku apabila Perodua Myvi dinaiki keluarga itu dari arah Kuala Terengganu ke Kuantan, melanggar belakang lori membawa muatan kayu yang bergerak pelahan.

Rempuhan kuat itu menyebabkan semua mangsa tersepit di tempat duduk sebelum tiga daripada mangsa dikeluarkan orang awam sebaik sepasukan bomba tiba di tempat kejadian.

Pegawai Operasi, Pegawai Kanan Bomba (PBK) II, Balai Bomba dan Penyelamat Kerteh, Norhazri Mohd Nor berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian itu pada 5.43 petang.

Katanya, sepasukan enam anggota bomba dengan sebuah jentera dikerahkan ke tempat kejadian untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit.

“Kami tiba di lokasi kejadian 6.04 petang dan mendapati tiga mangsa sudah pun dikeluarkan orang awam.

“Mangsa penumpang depan yang tersepit itu dikeluarkan bomba dengan mengambil masa kira-kira lima minit,” katanya.

Menurutnya, dua mangsa yang cedera dikejarkan dengan ambulans ke Hospital Kemaman, manakala dua beranak yang maut itu diserahkan kepada anggota polis untuk tindakan selanjutnya.


KEADAAN kereta Perodua Myvi yang terbabit dalam kemalangan. FOTO Rosli Ilham

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Mohd Said Ibrahim ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu.

Katanya, mayat kedua-dua mangsa dihantar ke Bilik Forensik Hospital Kemaman untuk siasatan lanjut.

“Polis sedang berusaha menghubungi keluarga mangsa bagi memaklumkan kejadian itu. Kes ini disiasat mengikut seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 April 2019 @ 9:42 PM