ABDUL Latif (tengah) bersama Ahmad Fauzan Hatim (kanan) dan Amir Shariffuddin (kiri) dilepas dan dibebaskan daripada 37 tuduhan rasuah di Mahkamah Sesyen Johor Bahru. FOTO Hairul Anuar Rahim
Mohd Sabran Md Sani


MAHKAMAH Sesyen Johor Bahru, hari ini melepas dan membebaskan bekas Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor, Datuk Abd Latif Bandi @ Nor Sebandi, 53, daripada 37 pertuduhan termasuk rasuah dan pengubahan wang haram berjumlah lebih RM30 juta, dua tahun lalu.

Mahkamah turut melepas dan membebaskan anak lelakinya, Fauzan Hatim Abdul Latif, 27, serta perunding hartanah, Amir Shariffuddin Abd Raub, 46, membabitkan pertuduhan sama.

Hakim Kamarudin Kamsun membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap semua pertuduhan dihadapi semua tertuduh di akhir kes pendakwaan.

Ini termasuk 33 pertuduhan berasingan membabitkan rasuah mengikut Seksyen 28 (1) (C) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang dibacakan bersama Seksyen 16(a)(B).

Selain itu Seksyen 32(8)(c) dan Seksyen 89 Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLA) 2001.

Keputusan itu selepas mengambil kira 13 alasan penghakiman yang dibentangkan Kamarudin pada prosiding diakhir kes pendakwaan yang berlangsung kira-kira 15 minit.

Kamarudin dalam penghakimannya berkata, kes yang dibentangkan di mahkamah membabitkan tiga individu termasuk bekas exco kerajaan Johor, anak lelakinya dan seorang individu awam.

“Tertuduh menghadapi 33 pertuduhan rasuah kerana menerima rasuah daripada beberapa individu bagi mendapatkan kelulusan sejumlah rumah lot Bumiputera.

“Selain itu tertuduh juga berdepan pertuduhan pengubahan wang haram dan melupuskan wang rasuah. Bagaimanapun semua tertuduh tidak mengaku salah terhadap pertuduhan asal dan pindaan.

Katanya, sepanjang tempoh perbicaraan 63 saksi dipanggil untuk memberikan keterangan membabitkan 1,071 eksibit dikemukakan di hadapan mahkamah.

Katanya, secara ringkas, selepas meneliti hujan dan saksi pendakwaan mahkamah mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap 33 pertuduhan rasuah dihadapi tertuduh.

“Pihak pendakwaan juga gagal membuktikan prima facie kes terhadap empat pertuduhan pengubahan wang haram dihadapi mereka.

“Justeru mahkamah melepas dan membebaskan semua tertuduh dari semua pertuduhan,” katanya.

Katanya, menjadi tugas kepada mahkamah untuk melihat fakta dikemukakan, selain tidak bersandar elemen mencurigakan semata-mata berdasar pertuduhan dihadapi tertuduh.

Terdahulu Abd Latif bersama anak lelakinya, Fauzan Hatim dan Amir Shariffuddin dilihat hadir ke mahkamah pada 8 pagi.

Galeri awam kemudian dipenuhi ahli keluarga serta rakan mereka yang sentiasa memberi sokongan sepanjang prosiding pendakwaan dilakukan dua tahun lalu.

Prosiding yang bermula 9.25 pagi dan berlangsung kira-kira 15 minit ternyata menggembirakan semua tertuduh serta ahli keluarga dan rakan rapat apabila dilepas dan dibebaskan dari semua pertuduhan terbabit.

Reaksi spontan dilihat apabila Abd Latif serta anak lelakinya berpegangan tangan menunggu keputusan itu, malah dilihat berpelukan selepas keputusan memihak kepada mereka.

Air mata sebak mengalir di pipi setiap tertuduh dan keluar dari kandang tertuduh dengan disambut kesedihan ahli keluarga mereka serta kesyukuran barisan peguam bela.

Pada prosiding itu tertuduh diwakili barisan peguam Datuk Hasnal Redzua Merican, Datuk Sallehudin Saidin,

Datuk Khairul Anwar Rahmat dan Azrul Zulkifli Stork.

Mereka turut diwakili Abdul Rahim Aidil, Nur Hafidzah Md Yusuff, Muzammil Merican, Siti Sarah Khalil, Hafez Zalkapli, Nadia Jihad dan Effa Azuin.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Mohamad Fadhly Mohd Zamri dan Tengku Amir Zaki.

Pada 14 Jun 2017, Abd Latif dan anak lelakinya,Ahmad Fauzan Hatim, serta Amir Shariffuddin menghadapi empat pertuduhan membabitkan aktiviti pengubahan wang haram.

Ketiga-tiga tertuduh didakwa mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLA) 2001.

Sebelum itu, Abd Latif, Ahmad Fauzan Hatim dan Amir Shariffuddin masing-masing turut menghadapi 33 pertuduhan berasingan membabitkan rasuah bernilai RM30.3 juta mengikut Seksyen 28 (1) (C) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 April 2019 @ 3:09 PM