GAJAH yang dipercayai mati akibat ditembak pemburu haram di Hutan Piah, Gerik pada Mac tahun lalu.
Mohd Jamilul Anbia Md Denin dan Mohd Rizal Abdullah


APABILA isu kepupusan pelbagai hidupan liar dibahaskan, pasti ada jari mudah menuding ke arah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) tanpa memikirkan beban dipikul.

Kurang yang memperkatakan faktor pembangunan tidak terkawal dan usaha Perhilitan menangani kerakusan pemburu haram mengaut keuntungan tanpa memikirkan kesan kepada populasi hidupan liar dilindungi.

Lebih memeranjatkan, kematian hidupan liar dari tahun ke tahun menunjukkan peningkatan iaitu 7,451 (2017) berbanding 6,767 (2016) dan 6,258 (2015) dengan Selangor, Johor dan Perak mencatatkan kematian hidupan liar tertinggi iaitu 1,745, 1,616 dan 792 (Statistik oleh Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) 2018).


Ketua Pengarah Perhilitan Datuk Abdul Kadir Abu Hashim berkata, masalah kepupusan pelbagai hidupan liar di negara ini sentiasa menjadi fokus utama pihaknya yang dipertanggungjawab untuk memikirkan kaedah terbaik menangani isu itu.

Menurutnya, antara spesies haiwan yang didapati amat terancam adalah tenggiling, harimau Malaya, badak Sumatera dan banteng.

“Selain empat spesies ini, Perhilitan turut memberi fokus terhadap gajah, rusa sambar, kambing gurundan botak upeh,” katanya.

Beliau berkata, berdasarkan maklumat dikumpul, bilangan gajah yang tinggal kini adalah 1,000 hingga 1,100 ekor di Semenanjung Malaysia, seladang (150 hingga 200 ekor), harimau belang (kurang 200 ekor), tapir (700 hingga 800 ekor), rusa sambar (350 hingga 400 ekor), kambing gurun (200 hingga 500 ekor ) dan burung botak upeh (20 hingga 30 ekor).

“Meskipun pelbagai strategi pengiklanan dan program kesedaran dikeluarkan saban tahun, isu pemburuan haram dan penjualan hidupan liar secara haram menjadi masalah utama,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 April 2019 @ 6:30 AM