AKTIVITI gotong-royong sukarelawan Skuad Amal Pantai Bestari di lokasi tumpahan minyak.
Mohd Sabran Md Sani


SEBANYAK 500 kilogram sampah berminyak berjaya dikutip sukarelawan Skuad Amal Pantai sempena Program Jom Selamatkan Pantai Siri 3/2019 di Pantai Tanjung Balau di sini, selama dua hari berakhir semalam.

Pengasas dan Pengerusi Sahabat Johor DT dan Skuad Amal Pantai, Mohd Fairuz Muhammad berkata program disertai 50 sukarelawan itu turut membantu usaha membersihkan kawasan itu yang dicemari minyak Marine Fuel Oil (MFO).

Katanya, skuad sukarelawan terbabit terpanggil untuk membersihkan kawasan pantai selepas melihat isu pencemaran minyak hitam di kawasan tumpuan pelancong di situ.

“Kebetulan kami melaksanakan program selamatkan pantai dan Tanjung Balau pula menghadapi isu pembuangan sisa minyak.

“Jadi kami merangka aktiviti pembersihan bersama 50 sukarelawan dan sepanjang dua hari program sebanyak 500 kilogram sampah dikumpulkan,” katanya, semalam.

Menurutnya, sempena program itu pihaknya membahagikan peserta kepada beberapa kumpulan untuk melaksanakan pembersihan pantai.

“Antara slot program dilaksanakan membabitkan kempen kesedaran dan pengenalan penggunaan ‘boardriders’.

“Kami mengumpulkan sisa sampah termasuk objek yang diselaputi minyak di pesisiran pantai serta di jeti Tanjung Balau yang berakhir tengah hari ini,” katanya.

Beliau berkata meskipun tidak dapat membersihkan kotoran minyak tebal yang menyaluti pesisir pantai dan bantuan, tapi usaha itu dapat mengurangkan kesan pencemaran.

“Hasil pemantauan didapati masih ada kesan tumpahan minyak yang tebal dan likat di kawasan itu, selain sukar dibersihkan.

“Bagaimanapun kami membantu mengangkat sisa sampah termasuk botol yang mengandungi minyak untuk dikutip dan dilupuskan,” katanya.

Menurutnya, pihaknya bekerjasama dengan Lembaga Kemajuan Johor Tenggara (KEJORA) bagi mengumpul semua sampah sarap sepanjang dua hari aktiviti gotong-royong dilaksanakan.

Mengulas mengenai program itu katanya, ia program ketiga sukarelawan terbabit membersihkan pantai dengan siri pertama di Pantai Pontian dan kedua di Pantai Batu Layar, Kota Tinggi.

Sementara itu, beberapa keping gambar aktiviti gotong-royong sempena Program Jom Selamatkan Pantai Siri 3/2019 dikongsikan Facebook Skuad Amal Pantai Bestari.

Malah kesan tumpahan minyak MFO juga dilihat pada sampah dikutip di pesisir pantai Tanjung Balau.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 April 2019 @ 8:30 AM