MOHAMAD mengangkat sumpah sebagai ADUN Rantau, hari ini. FOTO Iqmal Haqim Rosman
Azzman Abdul Jamal
azzman@bh.com.my


DATUK Seri Mohamad Hasan mengangkat sumpah sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau pada Istiadat Pembukaan Penggal Kedua Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan ke-14 di Seremban, hari ini.

Ia sekali gus mencatat sejarah apabila Timbalan Presiden UMNO itu menjadi wakil rakyat pertama di negeri ini mengangkat sumpah dua kali dalam tempoh satu penggal.

Bekas Menteri Besar itu mengangkat sumpah di depan Speaker DUN, Datuk Zulkefly Mohamad Omar pada 10.16 pagi.

Mohamad, 62, mengekalkan kedudukan sebagai Ketua Pembangkang di DUN Negeri Sembilan selepas menang kerusi DUN Rantau dengan memperoleh 10,397 undi.

Beliau menewaskan calon Pakatan Harapan (PH), Dr S Streram, 64, dengan majoriti 4,510 undi.

Pilihan Raya Kecil (PRK) Rantau diadakan selepas Mahkamah Persekutuan mengekalkan keputusan Mahkamah Pilihan Raya yang mengisytiharkan kemenangan tanpa bertanding Mohamad pada Pilihan Raya Umum (PRU) lalu tidak sah dan terbatal.

Ia selepas Streram, yang juga dicalonkan PH bagi PRU14 lalu, dihalang daripada menghantar borang pencalonan ketika hari penamaan calon pada 28 April 2018.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 April 2019 @ 11:31 AM