KUALA LUMPUR 11 MAC 2019. Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, bertitah ketika merasmikan persidangan pertama mesyuarat penggal kedua Parlimen ke-14 di Dataran Parlimen, Kuala Lumpur. NSTP/MOHAMAD SHAHRIL BADRI SAALI
Mohamad Azim Fitri Abd Aziz


POLIS tidak menolak kemungkinan pengendali laman Facebook (FB) menggelarkan diri mereka sebagai ‘Sabah-Sarawak Merdeka’, yang menghina Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, baru-baru ini, dalam kalangan warga asing.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, kemungkinan dibuat berdasarkan siasatan yang sedang dijalankan pihaknya kini.

“Siasatan sedang kita perhebatkan untuk buru suspek. Kita tidak tolak kemungkinan suspek dalam kalangan warga asing.

“Kita terpaksa minta bantuan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk kesan pengendali laman FB itu kerana minggu lalu ia sudah disekat,” katanya dalam sidang media selepas menyempurnakan Istiadat Penganugerahan Pingat Jasa Pahlawan Negara di Markas Briged Tenggara Pusat Gerakan Am (PGA) Kem Bukit Galing, di Kuantan, hari ini.

Turut hadir Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani dan Pengarah Pengurusan Bukit Aman, Datuk Abdul Rahim Jaafar.

Laman FB Sabah-Sarawak Merdeka sebelum ini dikesan memuat naik gambar memaparkan Al-Sultan Abdullah dalam keadaan mengaibkan sebelum dikecam masyarakat dan laporan polis turut dibuat ke atas laman FB itu.

Mohamad Fuzi berkata, setakat Jumaat lalu sebanyak 267 laporan polis diterima pihaknya di seluruh negara membabitkan penghinaan yang dibuat ke atas Yang di-Pertuan Agong.

Beliau berkata, pihaknya menghadapi sedikit kesukaran untuk mengesan pengendali FB berkenaan disebabkan laman FB itu yang pernah disekat dan tidak boleh dilayari di negara ini.

“Ia perlu pembabitan banyak pihak termasuk SKMM untuk kesan suspek. Kita kena minta bantuan Singapura dan pihak FB di Amerika Syarikat itu sendiri, jadi ia mengambil sedikit masa,” katanya.

Beliau turut menyangkal dakwaan segelintir pihak mengatakan polis lambat dalam menjalankan siasatan dan membawa suspek ke muka pengadilan.

Sebaliknya katanya, Polis Diraja Malaysia (PDRM) perlu melalui proses membabitkan negara asing untuk memohon bantuan melalui Jabatan Peguam Negara.

Sementara itu mengulas mengenai Penganugerahan Pingat Jasa Pahlawan Negara yang disempurnakan hari ini, Mohamad Fuzi berkata, seramai 222 pegawai dan anggota polis yang berkhidmat semasa darurat sehingga tahun 1990 menerima pingat tersebut.

Beliau berkata, hingga kini lebih 20,000 pegawai dan anggota PDRM menerima pingat itu atas jasa dan sumbangan mereka ketika berkhidmat pada zaman komunis dan darurat.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 April 2019 @ 12:34 PM