LAPORAN Harian Metro, sebelum ini.
Safuri Kamarudin


UJIAN Patologi Kimia dijalankan terhadap serpihan tulang yang ditemui di Gua Kandu, Gopeng, kelmarin, akan mengambil masa antara sebulan hingga dua bulan sebelum ia dapat dipastikan milik manusia atau haiwan.

Ketua Polis Perak, Datuk Razarudin Husain berkata, serpihan tulang yang ditemui itu masih belum dapat dipastikan sama ada milik manusia atau haiwan sehinggalah keputusan ujian itu diperoleh.

“Forensik sudah mengambil serpihan tulang itu untuk ujian (ujian patologi kimia) dan kita masih belum tahu sama ada ia milik manusia atau haiwan sehinggalah dipastikan melalui ujian dijalankan.

“Ujian ini akan mengambil masa lama iaitu antara sebulan atau dua bulan, namun kita akan cuba mempercepatkannya, ” katanya yang ditemui selepas menyaksikan Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Daerah Pengkalan Hulu di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pengkalan Hulu di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai penemuan serpihan tulang di Gua Kandu, Gopeng, ketika operasi pencarian Mohammad Ashraf Hassan, 29, dijalankan penduduk kampung.

Razarudin berkata, sekiranya ujian dijalankan itu mendapati tulang berkenaan adalah milik manusia, polis akan menjalankan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) dipadankan dengan DNA Mohammad Ashraf dan ahli keluarganya.

Harian Metro semalam melaporkan, penduduk kampung yang melakukan pencarian Mohamad Ashraf menemui serpihan tulang dipercayai tulang lama di dalam Gua Kandu, Gopeng, kira-kira 1 tengah hari, kelmarin.

Razarudin dilaporkan berkata, pihak forensik sudah mengambil satu tulang panjang seakan tulang betis dan lapan serpihan berukuran lebih kurang 15 sentimeter ke 20 sentimeter yang ditemui itu untuk ujian.

Bagaimanapun katanya, polis tidak menemui tengkorak atau rangka lain di lokasi itu dan masih belum dapat dipastikan milik manusia atau haiwan sehingga memperoleh keputusan ujian patologi kimia dijalankan.

Berita berkaitan

Jumpa tulang panjang, serpihan tulang

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 April 2019 @ 1:20 PM