LOKASI pergaduhan. Mangsa yang cedera (gambar kecil).
Hadzlihady Hassan


SUAMI isteri parah selepas ditikam seorang lelaki dalam pergaduhan di tingkat lima Flat Padang Tembak, Georgetown, semalam.

Dalam kejadian 1 pagi, lelaki berusia 40 tahun luka di dada dan perut manakala isterinya berusia 41 tahun turut luka di dada serta siku kanan.

Mangsa kini dirawat di Hospital Pulau Pinang (HPP).

Selain itu, suspek lelaki berusia 45 tahun turut dirawat di hospital sama kerana patah hidung, bengkak mulut serta pipi dan luka di jari kiri.

Sumber berkata, siasatan awal mendapati kejadian berlaku apabila lelaki terbabit memarahi suami isteri yang tinggal di tingkat enam flat berkenaan kerana dikatakan melontar barang masuk ke rumahnya.

“Ketika itu, berlaku pertengkaran antara ketiga-tiga mereka dan suami isteri berkenaan yang tidak berpuas hati terus turun ke rumah lelaki terbabit.

“Bagaimanapun, si isteri yang tidak dapat mengawal kemarahan menghentak kepala lelaki itu menggunakan tin biskut sebelum menolak ibu jiran mereka sehingga terjatuh,” katanya.

Sumber berkata, melihatkan ibunya ditolak, lelaki terbabit yang ketika itu memotong buah terus menikam wanita berkenaan menggunakan pisau.

“Suami wanita itu kemudian cuba menghalang dengan menumbuk lelaki terbabit namun berlaku pergelutan dan dia turut ditikam di perut serta dada.

“Ketiga-tiga mereka yang cedera dibawa ke hospital untuk mendapatkan rawatan,” katanya.

Katanya, siasatan awal mendapati ketiga-tiga mereka memang kerap bergaduh sebelum ini walaupun hanya kerana masalah kecil namun kejadian kali ini agak serius.

“Semua yang terbabit akan diambil keterangan apabila keadaan mereka stabil dan polis turut merampas pisau serta gunting yang dipercayai digunakan dalam kejadian itu.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan parah dan Seksyen 148 kanun sama kerana merusuh,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 April 2019 @ 2:31 PM