PADAH menjual dan membekal barangan jenama tiruan, dua lelaki bakal berdepan hukuman denda RM3.8 juta apabila diserbu Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Terengganu, Rabu lalu.

Dalam serbuan jam 12 tengah hari, sebanyak 3,134 unit barang jenama Samsung bernilai lebih RM75,000 dirampas.

Rampasan barangan dipercayai tiruan dilakukan bersama wakil Samsung di dua premis yang beroperasi sekitar bandar raya ini.

Pengarahnya, Saharuddin Mohd Kia berkata, rampasan terhadap barangan cap dagang berkenaan adalah yang terbesar dilakukan tahun ini.

“Serbuan di dua premis itu dilakukan selepas menerima aduan daripada pemilik cap dagang (Samsung) yang mengesahkan barangan berkenaan adalah tiruan.

“Antara barangan dirampas adalah kabel USB, S Pen Note 2 dan 3, pengecas kereta dan pengembara, bateri, fon telinga dan bluetooth stereo bernilai RM75,299,” katanya ketika sidang media di Pejabat KPDNHEP, Kuala Terengganu, hari ini.

Saharuddin berkata, pihaknya turut menahan dua lelaki iaitu pemilik premis berusia 30-an untuk siasatan lanjut sebelum dibebaskan selepas diambil keterangan.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 8(2)(b) Akta Perihal Dagangan 2011 iaitu membekal atau menawarkan barangan menggunakan perihal dagangan palsu.

“Jika sabit kesalahan, kedua-dua suspek berdepan hukuman denda maksimum RM10,000 bagi setiap barang dijual atau penjara tidak melebihi tiga tahun.

“Jika dinilaikan jumlah denda dengan barang dirampas, suspek bakal berdepan hukuman denda maksimum RM3.8 juta,” katanya.

Menurutnya, siasatan mendapati suspek dipercayai aktif membekal dan menjual barangan berkenaan sejak setahun lalu.

Katanya, tawaran harga sehingga 70 peratus daripada harga asal menyebabkan barangan itu mendapat permintaan tinggi daripada pengguna telefon bimbit jenama berkenaan.

Dalam pada itu, Saharuddin berkata, sepanjang tahun ini hingga semalam, sebanyak 234 kes direkodkan hasil serbuan dan pemeriksaan di 13,015 premis di seluruh negeri dengan nilai rampasan RM270,730.43 dan kompaun RM26,800.

“Sepaniang tempoh ini juga, kita menerima hampir 185 aduan membabitkan kes mengikut Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011, Akta Timbang dan Sukat 1972 dan Akta Kawalan Bekalan 1961,” katanya.

Katanya, KPDNHEP Terengganu meminta orang ramai sentiasa menyalurkan aduan dan maklumat berkaitan penyalahgunaan, penyelewengan dan isu kepenggunaan bagi membolehkan pihaknya mengambil tindakan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 April 2019 @ 2:53 PM
SAHARUDDIN (dua kiri) menunjukkan hasil rampasan barangan jenama Samsung dianggarkan bernilai RM75,299 selepas menahan dua suspek di Kuala Terengganu. FOTO Ghazali Kori
SAHARUDDIN (dua kiri) menunjukkan hasil rampasan barangan jenama Samsung dianggarkan bernilai RM75,299 selepas menahan dua suspek di Kuala Terengganu. FOTO Ghazali Kori
Digital NSTP Subscribe