MENTERI BESAR Johor, Datuk Dr Sahruddin Jamal (tengah) diiringi Setiausaha Kerajaan Johor, Datuk Azmi Rohani (enam kiri) dan Pegawai Kewangan Negeri, Datuk ARahim Nin (kanan) bergambar bersama barisan Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Johor yang baharu di Kota Iskandar, Iskandar Puteri. FOTO Hairul Anuar Rahim
Mohd Husni Mohd Noor


TUN Dr Mahathir Mohamad menegaskan bahawa Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar tidak mempunyai pengaruh dalam pelantikan barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Johor.

Perdana Menteri berkata, pelantikan itu sebaliknya adalah keputusan oleh pihak Pakatan Harapan (PH) Johor.

“Sultan tidak mempunyai pengaruh. Saya rasa ia adalah keputusan daripada PH Johor,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Konvensyen Orang Asli Kebangsaan 2019 ‘Memartabatkan Hak Orang Asli’ di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), Putrajaya, hari ini.

Majlis upacara angkat sumpah Exco yang baharu dilaporkan berlangsung di Balai Mengadap Istana Bukit Serene, Johor pagi ini.

Dalam pada itu, Perdana Menteri juga ditanya berhubung desakan pemimpin DAP agar kerajaan menghentikan amalan mengutamakan penuntut Bumiputera dalam program matrikulasi.

Bagaimanapun, Dr Mahathir berkata: “Kita akan kaji permasalahan ini.”

Baru-baru ini, Pengarah Biro Hal Ehwal Universiti Pemuda Sosialis DAP (DAPSY), Leong Yu Shen dilaporkan berkata, amalan terbabit bertentangan dengan jaminan Perlembagaan Persekutuan untuk tidak mendiskriminasi rakyat.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 April 2019 @ 3:33 PM