GAMBAR hiasan.
Hafidzul Hilmi Mohd Noor
hafidzul@hmetro.com.my


SERAMAI 13 individu termasuk seorang wanita diberkas dalam operasi khas Ops Sarang dilakukan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi di sekitar Jalan Chow Kit, Kuala Lumpur, Jumaat lalu.

Pemangku Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Superintendan Rudy Abdullah berkata, seramai 20 individu termasuk dua wanita diperiksa dalam operasi bermula 7 pagi itu.

“Daripada 20 diperiksa itu, 13 ditahan dengan 10 daripadanya disiasat mengikut Seksyen 15 (1) (A) Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Seorang wanita yang ditahan disiasat mengikut Seksyen 39A(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana memiliki 26 tiub straw dipercayai heroin.

“Tiga daripada mereka direman selama tujuh hari manakala 10 individu lagi diberi jamin polis sementara menunggu laporan daripada patologi Hospital Kuala Lumpur (HKL),” katanya ketika dihubungi.

Rudy berkata, dua lagi lelaki yang ditahan akan disiasat mengikut Seksyen 12(2) akta sama.

Beliau berkata, Ops Sarang dilakukan berdasarkan risikan dan maklumat orang awam berhubung lokasi yang menjadi sarang penagih.

“Selain itu, ia bertujuan mengenalpasti serta mengambil tindakan terhadap ahli sindiket pengedaran dadah yang wujud di kawasan terbabit.

“Secara keseluruhan, Ops Sarang berjalan lancar dan usaha membanteras pengedaran serta penagihan dadah di sekitar ibu kota akan terus diperhebatkan dari semasa ke semasa demi kesejahteraan serta ketenteraman bandar raya ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 April 2019 @ 1:05 AM