OPERASI Banteras Aktiviti Haram (Ops BAH) yang terdiri daripada PDRM, Imigresen, JAWI, DBKL, AADK dan beberapa NGO di pusat pusat hiburan sekitar Kuala Lumpur. FOTO Eizairi Shamsudin
Mohd Azam Shah Yaacob


DEGIL, keras kepala atau berani kerana dilindungi pihak tertentu?

Begitu persoalan timbul apabila sebuah pusat hiburan terletak di sebuah kompleks di Lorong Ampang Ulu di sini, dikesan masih beroperasi tanpa lesen sah.

Biarpun premis terbabit kini dalam tindakan mahkamah selain sudah disita namun ia kelihatan ‘kebal’ daripada penguatkuasaan.

Malah, bagi meneruskan operasi, pusat hiburan itu kini beralih lokasi ke tingkat empat kompleks berkenaan selepas lokasi asal di lobi kompleks itu disita.

Tinjauan Harian Metro di lokasi itu mendapati pengunjung lelaki dan wanita masih terus datang ke kompleks berkenaan untuk berhibur di pusat hiburan terbabit.


KERATAN Harian Metro, kelmarin

Bezanya, jika dulu pengunjung boleh masuk secara walk-in, kini pengunjung perlu membuat tempahan bilik untuk berhibur di lokasi baru yang terletak di tingkat empat kompleks itu.

Berdasarkan tinjauan, pusat hiburan itu dijaga beberapa individu yang ‘menapis’ serta memantau pergerakan pelanggan termasuk meminta nombor bilik yang ditempah untuk disemak.

Tapisan itu dipercayai bagi memastikan aktiviti mereka tidak disedari.

Apabila ditanya mengapa perlu membuat tempahan bilik, individu terbabit memaklumkan bilik yang disediakan sentiasa penuh terutama pada hujung minggu.

Pada tahun lalu, selepas beberapa siri serbuan dijalankan termasuk Operasi Banteras Aktiviti Haram (Ops BAH), Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengambil langkah drastik menyita pusat hiburan terbabit.

Tindakan sita dibuat mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Hiburan 1992 kerana beroperasi tanpa lesen sah.

Malah, dalam beberapa serbuan dijalankan sebelum ini, pihak berkuasa pernah menahan puluhan wanita warga asing terbabit dalam kegiatan tidak bermoral dan bekerja sebagai pelayan pelanggan (GRO).

Berita berkaitan

Leka teguk arak

Telan dadah, teguk 'air kencing setan'

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 April 2019 @ 6:31 AM