KEADAAN kerbau dan van yang terbabit kemalangan di Kilometer 435.7 Lebuhraya Utara Selatan, menghala utara di Kuala Kubu Bharu, hari ini. FOTO Ihsan Bomba
Nurul Hidayah Bahaudin


DUA wanita warga Thailand cedera selepas van dinaiki mereka melanggar kerbau di Kilometer 435.7 Lebuhraya Utara Selatan menghala utara, di Kuala Kubu Bharu, hari ini.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu, 6.53 pagi tadi.

“Seramai 10 pegawai dan anggota bersama satu jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Kubu Bharu dikejarkan ke lokasi.

“Sebaik tiba, kami mendapati van yang membawa 12 penumpang itu terbabit dalam kemalangan selepas melanggar seekor kerbau di lokasi berkenaan,” katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Katanya, seorang daripada penumpang van berkenaan dilaporkan tersepit di panel bahagian depan kenderaan terbabit akibat kemalangan itu.

“Kami mengambil masa beberapa minit untuk mengeluarkan wanita terbabit yang patah kaki akibat tersepit. Seorang lagi wanita hanya cedera, manakala pemandu serta penumpang lain tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Kedua-dua mangsa dibawa ke Hospital Sungai Buloh untuk rawatan lanjut,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 April 2019 @ 10:20 AM