FOTO Hiasan
Junaidi Ladjana


SEORANG lelaki bertindak menetak kepala bapa saudaranya sendiri menggunakan pisau pemotong daging selepas mangsa menegurnya kerana bertengkar dengan ibunya disebabkan pengecas telefon bimbit di Kampung Pononoburan, Keningau, kelmarin.

Dalam kejadian jam kira-kira jam 8 malam, mangsa berusia 57 tahun menerima enam jahitan di kepala selepas dirawat di Hospital Tambunan.

Difahamkan, ketika kejadian, mangsa melihat adik perempuannya bertengkar dengan anak lelakinya yang juga suspek selepas tidak menemui alat pengecas telefon bimbit.

Mangsa kemudian menegur suspek supaya tidak bertengkar dengan ibunya sendiri disebabkan perkara kecil.

Bagaimanapun, suspek naik angin dan terus mengejar ibunya dengan sebilah pisau sebelum dihalang mangsa.

Suspek kemudian bertindak menetak kepala mangsa sebelum melarikan diri.

Mangsa yang mengalami pendarahan di kepala kemudian dikejarkan ke Hospital Tambunan untuk rawatan lanjut.

Ketua Polis Daerah Keningau, Deputi Superintendan Shahrudin Mat Husain ketika dihubungi, mengesahkan kejadian itu dan suspek sudah dikenal pasti.

“Selepas kejadian, suspek melarikan diri dan usaha mengesannya giat dilakukan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 April 2019 @ 3:20 PM