Bayi perempuan di bawa ke Hospital Seberang Jaya untuk rawatan lanjut. FOTO Ihsan PDRM
Hadzlihady Hassan
hadzlihady@hmetro.com.my


“KETIKA itu azan berkumandang dan saya bersiap menunaikan solat Zohor di masjid berhampiran rumah.

“Namun, saya terdengar jeritan budak lelaki yang memberitahu ada kotak mengandungi bayi di belakang masjid,” kata Ahmad Abdullah, 59, menceritakan penemuan bayi perempuan yang ditinggalkan di belakang Masjid Lama Ara Kuda, Tasek Gelugor semalam.

Ahmad berkata, dia pada mulanya menyangka budak lelaki itu bergurau dengan meletakkan anak kucing namun terkejut apabila melihat dalam kotak itu seorang bayi sedang nyenyak tidur.

“Saya terkejut apabila melihat bayi perempuan comel yang dibalut kain batik dalam kotak itu dan terus membawanya ke dalam masjid kerana ketika itu hujan lebat serta angin kencang.

“Mujur bayi itu ditemui, jika tidak saya tak tahu apa nasib menimpanya kerana ketika itu hujan lebat serta angin kencang,” katanya.

Menurutnya, dia percaya bayi itu berusia tidak sampai seminggu berdasarkan tali pusatnya yang masih belum tertanggal.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, bayi perempuan itu ditemui 1.20 tengah hari oleh penduduk yang kemudian menghubungi polis.

Menurutnya, bayi berkenaan ditemui di belakang masjid yang ditinggalkan dalam kotak dengan dibalut kain batik sebelum dibawa masuk penduduk ke dalam masjid.

“Pemeriksaan di kawasan masjid mendapati ia tidak dilengkapi kamera litar tertutup (CCTV) dan bayi 2.8 kilogram itu dibawa ambulans ke Hospital Seberang Jaya untuk rawatan lanjut.

“Doktor mengesahkan bayi itu tidak mengalami sebarang kecederaan dan berada dalam keadaan stabil,” katanya.

Noorzainy berkata, setakat ini pihaknya sedang mengesan individu yang meninggalkan bayi itu dan orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi balai polis berhampiran.

Berita berkaitan

Bayi perempuan ditinggal dalam masjid

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 April 2019 @ 6:49 PM