ANGGOTA bomba dan orang ramai cuba membantu mangsa dalam kemalangan membabitkan empat kenderaan menyebabkan seorang pesara guru meninggal dunia di Jalan Baling-Pengkalan Hulu berdekatan kawasan Rehat dan Rawat( R&R), Gunung Inas, Baling, hari ini. FOTO ihsan pembaca.
Safuri Kamarudin


PESARA guru maut dalam kemalangan di Jalan Baling-Pengkalan Hulu berdekatan kawasan Rehat dan Rawat (R&R), Gunung Inas, Baling, hari ini.

Ketua Polis Daerah Baling, Superintendan Shariffuddin Yusof berkata, kejadian pada 8.30 pagi itu membabitkan empat kereta.

Beliau berkata, mangsa, Kamarul Baharin Che Man, 76, dari Taman Mawar, Pengkalan Hulu, memandu Perodua Kancil dalam perjalanan dari Baling menuju Pengkalan Hulu sebelum memasuki laluan bertentangan lalu melanggar sebelah kanan Toyota Hilux.

“Akibat perlanggaran itu kenderaan Toyota Hilux dari arah Pengkalan Hulu berpusing tiga kali dan terlanggar Suzuki Jeep dari arah Baling.

“Berikutan itu, Suzuki Jeep itu terbalik ke sebelah kiri manakala kereta mangsa merempuh kereta Nissan Sentra dari arah bertentangan,” katanya.

Shariffuddin berkata, tiga pemandu lain yang terbabit dalam kejadian itu tidak cedera sementara mangsa yang parah meninggal dunia di tempat kejadian.

Beliau berkata, mayat mangsa dihantar ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) Sungai Petani untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 April 2019 @ 6:58 PM