Shahidan (Gambar arkib NSTP). FOTO Asyraf Hamzah
BERNAMA

PENDAKWAAN kes anggota Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim yang didakwa mencabul seorang remaja perempuan bawah umur pada Oktober tahun lalu, bermula hari ini dengan dua saksi dipanggil memberi keterangan.

Saksi pertama, guru muzik Sekolah Kebangsaan Kampung Salang, Arau, selaku pengurus kumpulan Buskers DSSK, Azhar Hasan, 49, manakala saksi kedua, Adzleen Junaira Mohd Nasir, 27, isteri kepada seorang anggota kumpulan itu.

Ketika disoal Pengarah Pendakwa Raya Perlis, Mohd Nordin Ismail, Azhar menggunakan perkataan ‘sentuhan luar biasa’ bagi menggantikan perkataan cabul.

Azhar berkata, kumpulan itu membuat persembahan di hadapan Stadium Tuanku Syed Putra Kangar apabila Shahidan tiba dengan menaiki Toyota Harrier dan berhenti tidak jauh dari tempat mereka membuat persembahan 11.30 malam.

Beliau berkata, seperti biasa beliau pergi kepada Shahidan dan kemudian melambai ke arah remaja itu (yang berusia 15 tahun tujuh bulan semasa kejadian) supaya datang.

Menurutnya, selepas berada dua atau tiga minit dalam kereta, remaja itu dilihat keluar dari kenderaan berkenaan dan berjalan ke arah khemah yang mana ibu, bapa dan adik remaja itu sedang menyaksikan kumpulan Buskers DSSK membuat persembahan.

Katanya, beliau berpendapat sesuatu luar biasa berlaku antara remaja itu dan tertuduh apabila bapa remaja itu tiba-tiba mengajak pulang sebaik dimaklumkan sesuatu oleh ibunya.

“Saya pula tidak melihat atau mendengar perbualan mereka kerana berada di belakang kenderaan,” katanya.

Beliau berkata Shahidan kemudian meninggalkan kawasan itu selepas menyerahkan wang RM300 kepadanya.

Shahidan dituduh melakukan amang seksual dengan menyentuh bahu hingga tangan remaja perempuan bawah umur dalam kereta Toyota Harrier di tepi jalan pada kira-kira 11.30 malam di perkarangan Stadium Syed Putra, Kangar, 20 Oktober tahun lepas.

Shahidan dituduh mengikut seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang boleh dihukum penjara sehingga 10 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.

Dalam pada itu, Adzleen Junaira pula berkata, dia melihat remaja itu berjalan agak laju semasa keluar dari Toyota Harrier Shahidan dan hampir menangis semasa menceritakan kejadian dalam kenderaan itu.

“Dia cakap kat mak dia, dia dipegang di bahu dan tangan kiri oleh DSSK (gelaran untuk Datuk Seri Shahidan Kassim).

“Saya juga dengar bapanya cakap: ‘malam ni pi (pergi) rumah DSSK pun tak apa.’ Ini ayat-ayat marah setelah mendapat tahu kejadian pegang bahu anaknya itu daripada isteri beliau,” kata Adzleen.

Adzleen Junaira berkata, dia bersama suaminya Saiful Anuar menemani keluarga itu membuat aduan di Balai Polis Kangar, kira-kira 3.00 pagi.

Shahidan diwakili peguam bela Zamri Ibrahim yang dibantu Zuhair Ahma Zakwan, Thalia Rohana Abdul Latiff dan Syed Muhammad Anwar Syed Lokman.

Pendakwaan dijalankan Pengarah Pendakwa Raya Perlis, Mohd Nordin Ismail, manakala Hakim Mahkamah Sesyen Kangar, Ainul Shahrin Mohamad mendengar kes itu.

Perbicaraan bersambung esok dengan saksi ketiga akan dipanggil untuk memberi keterangan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 April 2019 @ 8:04 PM