WONG, saksi ke 17 perbicaraan pertuduhan kes membabitkan dana SRC International di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. FOTO Mohd Yusni Ariffin
Murni Wan Omar dan Syah Rul Aswari Abdullah


SAKSI memberitahu Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur, bahawa beliau menyerahkan wang milik Datuk Seri Najib Razak sebanyak RM238,914 kepada seorang ahli perniagaan bagi bayaran yuran pentadbiran Facebook Ah Jib Gor dan penerbitan Chinese Weekly, sekitar Februari 2015.

Bekas Setiausaha Politik kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Wong Nai Chee berkata, beliau menerima wang itu dalam bentuk cek dan dibayar kepada Tan Sri Lim Soon Peng bagi membayar dua pihak itu.

“AD Network bertanggungjawab untuk mengurus pentadbiran laman sosial Najib dalam Bahasa Cina.

“Bayaran kepada Akademi Kewartawanan & Informasi Taima adalah untuk penerbitan akhbar Cina, Chinese Weekly bagi penyampaian berita membabitkan Najib kepada masyarakat Cina.

“Cek bayaran itu atas nama Lim yang memegang amanah untuk membayar dua pihak itu,” katanya.

Saksi ke-17 itu menjadi setiausaha politik kepada Najib bermula Disember 2011 sehingga Mei 2018 bagi memberi nasihat berhubung isu ekonomi, komuniti Cina, pendidikan dan agama lain.

SAIFUDDIN: Dalam keterangan kamu, bayaran dibuat kepada Lim dikatakan sebagai “bayaran bagi pihak kami,” kepada pihak lain. Apa maksud kamu sebagai kami?

WONG: Pejabat Perdana Menteri.

Sementara itu, saksi pendakwaan ke-16, Pengarah syarikat konsultan, Vital Spire Sdn Bhd, Onn Hafiz Ghazi berkata, pihaknya menerima bayaran RM240,000 daripada bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, pada 2015.

Katanya, ia sebagai bayaran untuk pengendalian operasi Malaysian Digest iaitu portal berita yang meliputi berita tempatan dan antarabangsa di samping bisnes, politik, hiburan dan sukan.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Saifuddin Hashim Musaimi dalam prosiding kes Najib yang menghadapi tujuh tuduhan membabitkan dana SRC International Sdn Bhd (SRC International).

MUHAMMAD SAIFUDDIN: Biasa jumpa Datuk Seri Najib?

SAKSI: Ya.

MUHAMMAD SAIFUDDIN: Berbalik kepada Najib. Di mana kamu terima cek itu?

SAKSI: Di pejabat Perdana Menteri pada masa itu.

MUHAMMAD SAIFUDDIN: Butir-butir pada cek termasuk nama, jumlah dan tarikh itu... dah ada pada masa terima cek itu?

SAKSI: Ya.

MUHAMMAD SAIFUDDIN: Datuk Seri Najib sendiri tandatangan cek itu?

SAKSI: Ya.

Sementara itu, ketika menjawab soalan peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdulllah yang mewakili Najib, saksi sama bagaimanapun menjelaskan portal berita itu tidak lagi beroperasi sejak Julai 2018.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 April 2019 @ 8:28 PM