SUPARDI dijatuhi hukuman penjara dua tahun dan denda RM3,000 selepas mengaku salah membakar motosikal adiknya. FOTO Siti Nor Hidayatidayu Razali
Siti Nor Hidayatidayu Razali
sitinor@nstp.com.my


SEORANG buruh dijatuhkan hukuman penjara dua tahun dan denda RM3,000 oleh Mahkamah Sesyen Kota Bharu, hari ini, selepas mengaku salah membakar motosikal adiknya, pertengahan April lalu.

Hakim Ahmad Bazli Bahruddin menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh, Supardi Samah, 39, mengaku terhadap pertuduhan dibacakan jurubahasa.

Mahkamah mengarahkan hukuman penjara bermula dari tarikh tangkap iaitu pada 15 April lalu dan turut berdepan hukuman tambahan penjara enam bulan sekiranya gagal membayar denda.

Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa melakukan perbuatan khianat dengan api dengan niat hendak atau diketahui kemungkinan menyebabkan kerosakan harta benda iaitu sebuah motosikal jenis SYM warna putih dan biru bernilai RM3,000.

Perbuatan itu dilakukan di Kampung Belanga, Kuala Krai, jam 10 pagi, pada 14 April 2019.

Dia didakwa mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum 14 tahun dan denda.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Wan Nurul Hanini Wan Ahmad Shukry manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Terdahulu, tertuduh memohon hukuman ringan dikenakan terhadapnya manakala Wan Nurul Hanini memohon hukuman setimpal sebagai pengajaran kepadanya dan orang ramai.

Mengikut fakta kes, tertuduh meminta wang RM50 daripada ibunya yang berusia 71 tahun, namun warga emas itu tidak mempunyai wang.

Tertuduh mengambil tukul besi dan mengetuk beberapa bahagian motosikal milik adiknya yang terletak di hadapan rumah sebelum ditegah ibunya.

Lelaki itu kemudian berkata ‘pade la muko tu ore mintak hak sikit tak bagi, rugi hak lain lagi banyak’ (padan muka, orang minta yang sikit tak bagi, rugi yang lain lagi banyak).

Wanita itu kemudian menolak motosikal ke belakang rumah sebelum dia terhidu bau getah terbakar dan mendapati motosikal itu dibakar tertuduh.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 April 2019 @ 8:39 PM