Muhaamad Hafis Nawawi


TIDAK tahan dipukul dan tidak dibayar gaji menyebabkan tiga wanita warga Indonesia nekad melarikan diri dari rumah ejen mereka sebelum mendapatkan perlindungan di Konsulat Indonesia, Pulau Pinang sebulan lalu.

Bagaimanapun mereka berusia 36 hingga 48 tahun itu yang trauma dengan kejadian itu hanya tampil membuat laporan di Balai Polis Padang Serai, di Kulim, 5.50 petang Isnin lalu untuk tindakan selanjutnya.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kedah Senior Asisten Komisioner Mior Faridalthrash Wahid berkata, mangsa mengadu melarikan diri dari rumah ejen pekerja asing pada 23 Mac lalu kerana tidak tahan dipukul oleh ejen berusia 59 tahun itu selain tidak dibayar gaji ketika bekerja dengan lelaki terbabit.

Menurutnya, selepas melarikan diri, mereka mendapatkan perlindungan di Konsulat Indonesia, Pulau Pinang.

“Siasatan awal polis mendapati mereka datang ke negara ini pada Mei tahun lalu dan bekerja sebagai pembantu rumah.

“Jika majikan membuat aduan kepada ejen terbabit, maka mangsa akan dikembalikan semula kepada lelaki itu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mior Faridalthrash berkata, hal ini menyebabkan mereka bertukar majikan sebanyak beberapa kali, malah mengadu dipukul dan dimarahi ejen itu kerana tidak pandai membersih rumah.

“Siasatan mendapati mereka ini dieksploitasi oleh ejen terbabit yang melakukan kesalahan pemerdagangan manusia.

“Susulan itu suspek ditahan semalam bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 12Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (Atipsom) 2007,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 April 2019 @ 8:42 AM