PASUKAN Polis Marin (PPM) Wilayah Dua Johor berjaya memintas sebuah bot pancung dan menahan pendatang asing tanpa izin (PATI) di laut Kukup Pontian. FOTO Ihsan PPM
Izlaily Nurul Ain Hussein


PASUKAN Polis Marin (PPM) Wilayah Dua Johor berjaya memintas bot pancung dan menahan pendatang asing tanpa izin (PATI) di laut Kukup di Pontian, semalam.

Dalam Ops Gelora kira-kira 1 pagi itu, seorang tekong laut dan 41 PATI termasuk wanita serta seorang kanak-kanak perempuan warga Indonesia berjaya ditahan.

Bot yang mencurigakan itu dikesan disyaki cuba keluar menuju ke Indonesia sebelum berjaya ditahan dan pemeriksaan mendapati ia menyeludup keluar PATI dari Malaysia.

Komander PPM Wilayah Dua Johor, Asisten Komisioner Paul Khiu Khon Chiang berkata, pihaknya turut merampas bot pancung dengan enjin sangkut jenis Yamaha 40hp dan 75hp.

Katanya, kes disiasat mengikut Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 dan Akta Imigresen 1959/63.

Menurut beliau, pada bulan April sahaja, PPM Wilayah Dua Johor sudah merampas enam bot serta tujuh enjin sangkut yang digunakan oleh sindiket penyeludupan PATI.

“Kita akan mempertingkatkan operasi dalam usaha menangani sindiket PATI hingga ke akar umbi,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 April 2019 @ 9:44 AM