BAYI maut dan tiga cedera selepas kenderaan dipandu bapa mangsa terbabas di Jalan Gambang, Lepar. FOTO Ihsan Pembaca
BAYI maut dan tiga cedera selepas kenderaan dipandu bapa mangsa terbabas di Jalan Gambang, Lepar. FOTO Ihsan Pembaca
Mohamad Azim Fitri Abd Aziz


BAYI perempuan maut selepas kereta dinaiki bersama ibu bapa dan kakaknya terbabit dalam kemalangan di kilometer 31 Jalan Kuantan-Segamat, dekat Lepar, di Kuantan, hari ini.

Dalam kejadian 6.30 pagi itu, bayi perempuan berusia sembilan bulan, Nurul Afiqah Umaira Muhammad Hafiq maut di tempat kejadian selepas kereta dipandu bapanya Muhammed Hafiq Halim, 27, dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas ke sebelah kiri bahu jalan dan terbalik.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Pahang, Superintendan Kamarulzaman Jusoh berkata, siasatan awal pihaknya mendapati kereta model Proton Iswara dinaiki keluarga itu dalam perjalanan dari arah Segamat menuju ke Kuantan.

“Kita percaya pemandu hilang kawalan sebelum terbabas. Akibat kemalangan itu anak mangsa yang juga bayi perempuan berusia sembilan bulan maut di lokasi kejadian,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Kamarulzaman berkata, kejadian turut menyebabkan Muhammed Hafiq dan isterinya Roslinawati Ismail, 28, serta seorang lagi anak mereka Nurul Atiqah Umaira, 4, cedera dan dirawat di zon merah Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), Kuantan.

Beliau berkata, siasatan di lokasi kemalangan mendapati keadaan jalan lurus dan ketika kejadian cuaca berkeadaan baik.

“Kita minta saksi yang mempunyai maklumat mengenai kemalangan ini untuk tampil membantu siasatan,” katanya.

Difahamkan ketika kejadian semua mangsa dibawa keluar oleh pihak bomba dan orang ramai sebelum dihantar ke hospital.

Kamarulzaman berkata, mayat dibawa ke HTAA untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 April 2019 @ 12:51 PM