PEMBIDA membida harga pada Lelongan Awam Kenderaan Sita di JPJ Seberang Jaya. (Gambar kecil) Antara kenderaan yang dilelong. FOTO Shahnaz Fazlie Shahriza
Nur Izzati Mohamad
am@hmetro.com.my


LEBIH 1,000 individu mengerumuni ruang bidaan di perkarangan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Seberang Jaya, Butterworth, untuk mencuba nasib membeli kenderaan mewah yang disita dengan harga jauh lebih murah.

Pada program berkenaan, terdapat 100 kereta pelbagai jenama disita pihak berkuasa akan dilelong kepada orang awam yang membeli buku lelongan sejak 25 Mac lalu.

Pengarah JPJ negeri, Mohamat Johari Mat Nor berkata, pada mulanya buku lelongan yang dikeluarkan hanya 150 naskah sahaja.

Bagaimanapun, permintaan tinggi menyebabkan pihaknya mencetak sehingga 1,050 buku lelongan dijual pada harga RM100 senaskah.

“Kita tidak menyangka program lelongan kenderaan sita ini mendapat permintaan tinggi daripada masyarakat.

“Oleh itu, kita bekerja keras sejak dua bulan lalu bagi memastikan proses lelongan berjalan lancar,” katanya pada program lelongan kenderaan sita berkenaan, hari ini.

Menurutnya, selain kakitangan JPJ, pemerhati daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) turut memantau proses lelongan yang akan berlangsung selama dua hari sehingga petang esok.

Difahamkan, bidaan semua kenderaan itu bermula pada harga sekitar RM700 hingga RM13,000.

Mohamat Johari berkata, individu yang membeli buku lelongan dibenarkan untuk melihat kenderaan sita sebelum membuat bidaan.

“Jadi, kita berharap mereka dapat membuat pilihan baik dan mengikuti peraturan sepanjang proses lelongan berlangsung,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 April 2019 @ 1:35 PM