FOTO hiasan
Mary Victoria Dass


POLIS Johor mempertingkatkan pemantauan di pintu sempadan tambak Johor dan Laluan Kedua Malaysia-Singapura (Linkedua) dalam usaha mengekang pengaruh kumpulan militan Negara Islam Iraq dan Syria (ISIS) yang masih wujud di negara ini.

Timbalan Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Kamarudin Md Din berkata, pihaknya sudah memberi arahan kepada semua ketua polis daerah di seluruh negeri supaya menggandakan rondaan dan kawalan di semua rumah ibadat sebagai langkah berjaga-jaga.

Beliau berkata, setakat ini pihaknya tidak menerima sebarang maklumat berkaitan ancaman mahu pun kejadian tidak diingini.

Menurutnya, pihaknya juga berharap ancaman seperti di Sri Lanka tidak berlaku di Johor.

“Saya tidak memiliki statistik bilangan rumah ibadat, namun kami sudah mengarahkan semua ketua polis daerah meningkatkan rondaan dan kawalan serta pemantauan di semua rumah ibadat.

“Kita sentiasa membuat pemantauan di pintu sempadan. Insya-Allah sehingga kini tiada ancaman sebegini.

“Saya tidak nafikan masih terdapat pengaruh ISIS di sini, namun dalam kawalan dan pemantauan kita,” katanya ketika sidang media selepas menyempurnakan Kempen Derma Darah di Johor Bharu, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai lapan siri letupan yang menggegarkan Sri Lanka Ahad lalu ketika sambutan Hari Easter sehingga meragut lebih 300 nyawa.

Sementara itu, Mohd Kamarudin berkata, pihaknya mensasarkan 200 penderma sepanjang program kempen derma darah diadakan sempena Sambutan Hari Polis Ke-212.

“Setakat ini bilangan penderma sudah mencecah 170 orang dan kami yakin mampu mencapai 200 penderma sebelum petang ini.

“Kami berterima kasih kepada semua penderma dan pihak yang bekerjasama melancarkan program hari ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 April 2019 @ 1:48 PM