ABD Hakim Daud, 24, melayan pelanggan di gerai laksa kebok milik bapanya di Kampung Landak, Kupang yang dibenarkan beroperasi seperti biasa sejak enam bulan lalu. FOTO Safuri Kamarudin
Safuri Kamarudin
am@hmetro.com.my


“SAYA bersyukur walaupun pelbagai dugaan dan persepsi daripada sesetengah pihak, namun ia berjalan dengan baik dan gerai ini beroperasi seperti biasa sejak enam bulan lalu.”

Demikian kata pemilik gerai laksa kebok di Kampung Landak, Kupang Daud Ismail, 53, yang sebelum ini diarah tutup sementara oleh Kementerian Kesihatan pada 8 Oktober tahun lalu kerana menyebabkan keracunan makanan kepada pelanggannya.

Daud berkata, dia memulakan perniagaan awal bulan November tahun lalu sehinggalah hari ini dengan menyediakan lebih 30 sehingga 50 kilogram laksa kebok setiap hari.

Menurutnya, selepas kesnya selesai dan dibenarkan beroperasi oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), dia berniaga seperti biasa.

“Saya bersyukur semua berjalan dengan baik malah sebelum ini saya memberi kerjasama kepada semua pihak termasuk Pejabat Kesihatan Daerah Baling .

“Dengan berkat doa semua, saya dapat memulakan perniagaan seperti biasa dan akur dengan semua arahan daripada pihak yang berwajib,” katanya ketika ditemui di gerainya hari ini.

Katanya, pelanggan tetap membeli kerana mereka yakin dengan masakan yang disediakan sejak 20 tahun lalu.

“Malah, isteri dan dua anak saya sudah mengikuti kursus kesihatan yang dianjurkan oleh Pejabat Kesihatan Daerah Baling bagi mematuhi arahan pejabat itu.

“Saya juga memperkenal satu lagi menu tambahan iaitu laksa udang tertungging selain laksa kebok yang sedia ada dan akan terus meningkatkan kualiti kerana perniagaan ini menjadi punca rezeki kami sekeluarga,” katanya.

Pelanggan tetap, Alias Daie, 59, Kampung Charok Kapas, Kupang berkata, dia sudah lama membeli laksa kebok kerana laksanya sedap dan dibuat secara tradisional.

“Selepas beroperasi semula, saya datang untuk membeli laksa kebok di gerai berkenaan.

“Saya yakin laksa kebok sedap seperti dulu dan tidak takut untuk memakannya,” katanya.

Harian Metro sebelum ini melaporkan dua mangsa meninggal dunia selepas dilaporkan memakan laksa yang dibeli di gerai di Kupang, Baling dengan 42 orang keracunan makanan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 April 2019 @ 1:51 PM