FOTO Hiasan
Zatul Iffah Zolkiply


MAHKAMAH Rendah Syariah Marang, hari ini, mengarahkan seorang wanita warga emas yang ditahan berkhalwat bersama lelaki didakwa suaminya supaya menjalani pemeriksaan kesihatan selama satu bulan.

Keputusan itu dibuat Hakim Syarie Nik Mohd Shahril Irwan Mat Yusof selepas tertuduh berusia 73 tahun mengaku bersalah terhadap pertuduhan mengikut Seksyen 31(a) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) 2001 kerana berkhalwat.

Mahkamah membuat keputusan menahan tertuduh mengikut Seksyen 180 Enakmen Tatacara Jenayah Syariah (Terengganu) 2001.

Keputusan itu dibuat selepas melihat wanita terbabit berada dalam keadaan celaru mental dan tidak berupaya membuat pembelaan sebelum mahkamah menetapkan 23 Mei depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Sementara itu, pasangannya berusia 63 tahun dijatuhi hukuman denda RM2,800 atau enam bulan penjara sekiranya gagal menjelaskan denda berkenaan.

Mengikut pertuduhan, mereka didakwa melakukan khalwat di sebuah rumah di Marang, jam 12.55 malam pada 8 Mac 2018.

Pendakwaan dijalankan Pendakwa Syarie Jabatan Pendakwaan Syariah Negeri Terengganu.

Mengikut fakta kes, sepasukan pegawai penguat kuasa syariah daerah melakukan serbuan berwaran terhadap sebuah rumah di daerah ini.

Sebaik tiba di hadapan rumah berkenaan, keadaan pintu tertutup rapat sebelum anggota memberi salam.

Pintu dibuka seorang lelaki dan anggota memperkenalkan diri serta meminta izin membuat pemeriksaan sebelum seorang wanita keluar dari bilik.

Hasil pemeriksaan, pasangan berkenaan mengaku suami isteri namun mereka gagal menunjukkan surat nikah.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 April 2019 @ 3:49 PM