FOTO Hiasan
Shahrinnahar Latib


KADAR zakat fitrah bagi negeri Pahang kekal RM7 tahun ini berdasarkan harga beras ditetapkan Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP).

Timbalan Yang Dipertua MUIP, Datuk Seri Wan Abdul Wahid Wan Hassan berkata, kadar itu kekal bagi tempoh 11 tahun berturut-turut sejak MUIP mengumumkan kadar berkenaan kali pertama pada 2009.

“Kadar ini bersesuaian dengan keadaan semasa dan MUIP sudah melantik 954 amil bertauliah bagi melaksanakan kutipan dan memudahkan urusan pembayaran zakat.

“Kita menasihatkan orang ramai membayar zakat fitrah hanya kepada amil dilantik MUIP atau mengunjungi laman sesawang ezakat.muip.gov.my/zakatfitrah untuk tujuan pembayaran secara dalam talian,” katanya dalam sidang media di Pekan, hari ini.

Wan Abdul Wahid turut mengingatkan individu yang mengutip zakat fitrah tanpa kebenaran MUIP boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 38 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah 2013 dan sabit kesalahan boleh dikenakan denda maksimum RM3,000 atau penjara tidak lebih dua tahun, atau keduanya sekali.

Katanya, tindakan juga boleh diambil terhadap mereka yang enggan atau gagal membayar zakat fitrah mengikut Seksyen 40 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah 2013.

“Pihak MUIP memperuntukkan RM3.34 juta yang akan diagihkan kepada 641 masjid di seluruh Pahang sepanjang Ramadan tahun ini.

“Peruntukan ini adalah bagi mengimarahkan Ramadan dengan pelbagai aktiviti keagamaan..untuk persediaan menyambut Aidilfitri pula, kita akan menyalurkan bantuan kepada mualaf dan fakir miskin membabitkan peruntukan berjumlah RM6.6 juta,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 April 2019 @ 4:53 PM