DR Ahmad Samsuri Mokhtar menerima sumbangan penderma, Pengurus Urusan Sabasun Hyper Runcit Sdn Bhd, Salmi Che Ibrahim di Majlis Penyerahan Sumbangan Misi Kemanusian Gaza 2019 di Wisma Darul Iman. FOTO Imran Makhzan
Hanneeyzah Bariah Baharin


PROSES pengambil alihan tanah penduduk untuk pembinaan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) di negeri ini belum dilakukan, sebaliknya ia hanya melalui proses pewartaan untuk pembangunan projek mega itu yang ditangguhkan sebelum ini.

Menteri Besar, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, proses mengambil alih tanah penduduk juga akan membabitkan kawasan lain daripada yang sudah diwartakan sebelum ini, berikutan perubahan jajaran laluan ECRL daripada kawasan tepi pantai ke kawasan sebelah dalam.

Beliau berkata, kerajaan negeri akan menubuhkan satu jawatankuasa bersama Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) dalam memperhalusi pelbagai perkara termasuk memastikan kelancaran pelaksanaan kerja pembinaan ECRL.

Katanya, jawatankuasa itu akan menilai dan menyelesaikan beberapa perkara berbangkit termasuk isu pengambilalihan tanah serta isu kelulusan kerja di peringkat kerajaan tempatan.

“Untuk laluan baharu ini, ia akan membabitkan pengambilalihan kawasan baharu. Yang sebelum ini (sebelum ECRL ditangguhkan) kita belum ambil alih tanah lagi, hanya wartakan tanah sahaja.

“Apabila ada jajaran baharu, kita akan wartakan kawasan baharu. Proses ini juga bukan mudah dan kita jangka akhir tahun ini atau awal tahun depan baru selesai daripada segi jajaran baharu ini,” katanya selepas majlis penyerahan sumbangan Misi Kemanusiaan Gaza 2019 di Kuala Terengganu, hari ini.

Beliau berkata, perubahan jajaran ECRL di Terengganu hanya membabitkan pengurangan jarak sejauh enam kilometer sahaja dan pengurangan stesen daripada lapan mengikut pelan asal kepada enam stesen.

“Untuk laluan di Terengganu, memang ada sedikit perubahan daripada laluan asal. Yang pertama perubahan daripada segi bilangan stesen dan kedua jajaran laluan.

“Secara keseluruhannya, di Terengganu daripada titik masuk iaitu di Kemaman sehingga titik hujung di Kampung Raja, Besut sebelum masuk ke Kelantan, pengurangan jarak berlaku hanya enam kilometer sahaja.

“Jadi, tidak membabitkan perkara yang signifikan sangat. Kita ucap terima kasihlah, walaupun laluan baharu itu agak berbeza sedikit, tetapi kita percaya ia tidak mengubah objektif asal yang kita nak capai,” katanya.

Mengulas mengenai perjumpaannya bersama Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL), Datuk Seri Darwis Abdul Razak di sebuah hotel di bandar raya ini semalam, Ahmad Samsuri berkata, pertemuan itu adalah komitmen kerajaan negeri memastikan segala urusan berkaitan perubahan jajaran baharu dapat dilaksanakan dengan mudah dan efektif.

Kerajaan sebelum ini mengumumkan projek ECRL yang mencetuskan perbalahan mengenai kos pembinaannya oleh kerajaan terdahulu akan diteruskan dengan kos pembinaan sebanyak RM44 bilion.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 April 2019 @ 6:59 PM