Remaja berusia 18 tahun diberkas sedang khayal dadah bersama teman lelakinya berusia 52 tahun dalam satu serbuan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) negeri di Taman Sri Rambai, Bukit Mertajam. FOTO Ihsan PDRM
Shamsul Munir Safini


REMAJA diberkas sedang khayal dadah bersama teman lelakinya berusia 52 tahun dalam serbuan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) negeri di Taman Sri Rambai di Bukit Mertajam, 1 pagi semalam.

Dalam serbuan itu, sepasukan pegawai dan anggota AADK menyerbu rumah di taman itu sebelum menahan kedua-dua mereka bersama sejumlah dadah.

Penolong Pengarah Penguatkuasaan dan Keselamatan AADK negeri, Ibrahim Muhamad Said berkata, ketika serbuan, pihaknya dibenarkan masuk oleh suspek lelaki sebelum pemeriksaan di dalam rumah menemui remaja perempuan berusia 18 tahun di ruang tamu dalam keadaan mencurigakan.

Katanya, ketika pemeriksaan pihaknya juga menemui dua paket plastik lutsinar berisi ketulan kristal dipercayai dadah methamphetamine seberat 2.09 gram (g).

“Pemeriksaan lanjut juga menemui satu paket plastik berisi 3.20g heroin dan sepaket plastik berisi daun kering dipercayai ganja anggaran berat 0.57g.

“Selain itu, pihaknya juga merampas peralatan membungkus dadah dan perkakas menghisap dadah yang yang ditemui dalam rumah suspek,” katanya.

Menurutnya, suspek lelaki berusia 52 tahun berkenaan mempunyai kolam udang dan menjadikan aktiviti pengedaran dadah sebagai kerja sambilan, manakala teman wanitanya berusia 18 tahun yang bekerja sebagai pengasuh kanak-kanak bertindak sebagai pembungkus dadah.

Katanya, hasil soal siasat yang dilakukan, remaja perempuan berkenaan mengaku mula menagih dadah sejak berusia 12 tahun ketika masih bersekolah dan teman lelakinya berusia 52 tahun sudah berkahwin.

Ibrahim berkata, kedua dua mereka ditahan dan disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 April 2019 @ 2:19 PM