Anggota dan pegawai polis yang menerima PJPN hari ini yang disampaikan Mohamad Fuzi. FOTO Muhaizan Yahya
Muhammad Apendy Issahak


POLIS Diraja Malaysia (PDRM) meminta bantuan pengendali pusat Facebook (FB) bagi membantu mengesan pemilik akaun FB ‘Sabah-Sarawak Merdeka’ yang membuat penghinaan ke atas Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, pihaknya sudah menghantar Bantuan Perundangan Bersama (MLA) kepada pihak berkenaan susulan suspek dipercayai berada di luar negara.

Menurutnya, laman FB itu dikesan sebelum ini sudah ditutup namun beroperasi semula dengan membuat beberapa muatnaik yang boleh mencetuskan keadaan tidak harmoni dalam masyarakat.

“Polis bukan saja bekerjasama dengan agensi berkaitan seperti Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) tetapi juga sudah mengemukakan MLA untuk mendapat bantuan pusat FB.

“Satu ketika FB ini (Sabah-Sarawak Merdeka) sudah disekat, tetapi beberapa hari lepas itu dibuka semula, jadi kita syak mereka yang bertanggungjawab berada di luar negara dengan alamat laman sosial digunakan juga di luar negara,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Istiadat Penganugerahan Pingat Jasa Pahlawan Negara (PJPN), Kontinjen Perak 2019 di Mes Pegawai Kanan PDRM Perak, Ipoh hari ini.

Mohamad Fuzi berkata, setakat kelmarin 523 laporan polis diterima membabitkan penghinaan institusi diraja dengan 472 daripadanya khusus terhadap penghinaan Agong.

“Jika suspek beroperasi dari luar negara, PDRM mempunyai kemampuan agak terhad namun sebaliknya jika di dalam negara, kita yakin dapat tangkap mereka.

“Bagaimanapun polis sedang memperhebatkan usaha mengesan suspek dengan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 4 (1) (a) Akta Hasutan 1948, Seksyen 504 Kanun Keseksaan (KK), Seksyen 505 (b) KK dan Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia,” katanya.

Sementara itu, mengenai perkembangan kes penyelia kedai emas di dalam sebuah pasar raya besar di Seri Kembangan, Selangor maut ditembak penjenayah dalam kejadian samun 19 April lalu, beliau berkata, polis sudah ada petunjuk berhubung kes itu.

“Kita sudah ada petunjuk baru mengenai kes berkenaan, namun saya tidak boleh mendedahkannya dan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) serta elemen lain sedang giat memburu suspek,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 April 2019 @ 6:56 PM