Operasi pemantauan dan pembersihan sisa tumpahan minyak MFO dihentikan 3 petang hari ini. FOTO Ihsan Jabatan Laut Johor
Mohd Sabran Md Sani


JABATAN Laut Wilayah Selatan (Johor) menamatkan operasi pemantauan dan pembersihan sisa tumpahan minyak Marine Fuel Oil (MFO) di perairan Tanjung Balau, Kota Tinggi hari ini.

Penolong Pegawai Laut, Roslee Ibrahim berkata, operasi dihentikan 3 petang selepas mendapat arahan ‘stand down’ daripada Pengarah Laut.

Katanya, operasi pada hari kelapan itu menggunakan khidmat bot Al Tair yang bertolak dari jeti Tanjung Pengelih pagi tadi.

“Pada 10 pagi, bot ini tiba di perairan Tanjung Balau dan melaksanakan pemantauan di lokasi dirancang membabitkan jarak tiga hingga lima batu nautika dari pantai.

“Operasi hari kelapan dan terakhir ini meliputi perairan Tanjung Balau hingga ke Pulau Mungging, Pulau Lima dengan jarak pemantauan 33.35 batu nautika,” katanya hari ini.

Katanya, keseluruhan jarak pemantauan yang dilakukan adalah 66.70 batu nautika.

Menurutnya, sehingga 2.45 petang hari ini, tiada tompokan minyak ditemui di kedua-dua kawasan pemantauan.

“Keadaan cuaca cerah, sedikit beralun dengan ombak antara satu hingga dua meter, selain angin tidak lebih 18 knot,” katanya.

Pada 19 April lalu akhbar ini melaporkan, tumpahan kira-kira 300 tan minyak bahan api marin mencemari perairan Tanjung Balau dan Batu Layar dipercayai berpunca daripada aktiviti pembuangan sisa oleh kapal tangki.

Pengarah Jabatan Laut Wilayah Selatan (Johor), Dickson Dollah dipetik sebagai berkata, anggaran itu dibuat berdasarkan analisa perisian komputer membabitkan lokasi pencemaran seluas empat batu nautika dari pesisir pantai.

Katanya, berikutan itu 18 anggota bersama unit kecemasan jabatan itu digerakkan bagi melaksanakan kerja pembersihan tumpahan minyak di perairan berkenaan sejak operasi hari pertama, bermula 18 April lalu.

Jabatan Laut Wilayah Selatan menggerakkan bot Al Nilam dan bot Al Tair untuk melaksanakan kerja pembersihan tumpahan minyak di perairan Tanjung Balau dan Batu Layar.

Lebih 50 nelayan di Tanjung Balau dan Tanjung Lompat tidak dapat turun ke laut susulan tumpahan minyak yang dikesan di perairan itu.

Lebih memburukkan keadaan, mereka yang kebanyakannya nelayan pesisir pantai mendakwa tumpahan minyak dihanyutkan ke pantai itu turut merosakkan peralatan menangkap ikan, termasuk jaring dan bubu.

Berita berkaitan

[UPDATE] Tompokan minyak baru ditemui

Dalang tumpahan minyak dikenal pasti

Sila laksana hukuman berat - Sultan Johor

[UPDATE] 40 guni sisa minyak dikumpulkan

Pencemaran minyak terburuk!

Sengaja buang minyak [METROTV]

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 April 2019 @ 7:15 PM