Khalid (dua kanan) menunjukkan rampasan minyak pelincir tiruan di sebuah premis di Ayer Tawar. FOTO Noor Hidayah Tanzizi
Noor Hidayah Tanzizi


TINDAKAN licik premis membekal dan menghasilkan minyak pelincir tiruan terbongkar selepas diserbu penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) di Ayer Tawar, Manjung hari ini.

Pemeriksaan turut dijalankan di dua premis lain di Sitiawan iaitu kedai menjual alat ganti susulan serbuan pertama dan merampas 209 tong minyak pelincir yang dianggar bernilai RM257,000.

Ketua Pegawai Penguat kuasa KPDNHEP Perak, Khalid Tik berkata, dalam serbuan 2.30 petang itu pihaknya turut menahan enam individu membabitkan empat lelaki dan dua wanita termasuk wanita tanpa dokumen diri berusia antara 25 hingga 40-an.

Menurutnya, siasatan awal mengesyaki barang rampasan berkenaan adalah produk tiruan berdasarkan kualiti dan kod yang digunakan adalah berbeza daripada produk asli.

“Pemeriksaan mendapati premis itu menggunakan jenama terkenal dan menghasilkan minyak sendiri dengan bahan campuran iaitu minyak terpakai.

“Dalam serbuan pertama kita merampas 187 tong dram minyak pelincir tiruan selebihnya di dua lokasi lain,” katanya pada sidang media di lokasi rampasan di Ayer Tawar hari ini.

Menurutnya, pemeriksaan lanjut turut mendapati harga yang ditawarkan adalah mengikut pasaran biasa dan mereka didapati memasarkan barangan itu kepada agensi kerajaan, peniaga alat ganti serta pengusaha bengkel di sekitar Perak dan Selangor.

Menurut Khalid, minyak itu dipercayai untuk kegunaan jentera berat dan semua minyak yang dirampas dihantar kepada Jabatan Kimia untuk tindakan lanjut.

Katanya, premis yang beroperasi selama 15 tahun itu sudah tiga kali diserbu termasuk hari ini namun masih tidak serik dan terus menjalankan kegiatan sama.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 8 (2) (a) dan (b) Akta Perihal Dagangan 2011,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 April 2019 @ 8:13 PM