JAMALIAH bersama anak kembarnya yang menghidap autisme, Noor Afif Fitri (kanan) dan Noor Afiq Farhan.
Redzuan Muharam
redzuan.muharam@hmetro.com.my


“RASA sedih itu ada terutama apabila melihat individu sekeliling memandang sinis seolah-olah mengejek anak saya namun sebagai ibu, saya menerima mereka seadanya tanpa melihat kekurangan yang ada,” kata Jamaliah Ahmad, 53 , ibu kepada pasangan kembar istimewa autisme, Noor Afif Fitri dan Noor Afiq Farhan yang masing-masing berumur 30 tahun.

Jamaliah berkata, Noor Afif dan Noor Afiq disahkan autisme ketika berumur dua tahun dan dia menyedari perkara itu selepas melihat kedua-duanya tidak dapat bertutur seperti kanak-kanak lain.

Bagi mendapat kepastian, Jamaliah berkata, dia merujuk ke hospital untuk pemeriksaan lanjut sebelum doktor mengesahkan kembar itu mengalami masalah pembelajaran.

“Ketika dimaklumkan doktor mengenai perkara itu, saya terkejut kerana mereka dilahirkan normal.

“Namun, mahu atau tidak saya terpaksa menerima hakikat itu sekali gus memikul tanggungjawab membesarkan anak autisme.

“Saya bersyukur kerana tidak berseorangan sebaliknya mempunyai suami, Noor Affendy Mohd Noor, 61, yang sentiasa memberi sokongan untuk terus tabah dan bersabar walau dalam apa keadaan sekalipun,” katanya di program Kamu Teristimewa di Hati Kami di Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PPDK) San Peng di sini, semalam.


PROGRAM Kamu Teristimewa di Hati Kami meriah dengan kehadiran ibu bapa dan anak mereka yang juga pelatih PPDK San Peng.

Program itu disempurnakan Pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Zulbahrin Ahmad.

Hadir sama, Timbalan Pengerusi PPDK San Peng, Mohd Salleh Mohd Som dan Penyelia PPDK San Peng, Habibah Abd Ghaffar.

Program sempena bulan autisme itu turut meraikan lapan pelatih yang menyambut ulang tahun kelahiran pada Januari hingga April tahun ini.

Jamaliah berkata, meskipun dilahirkan dengan kekurangan, empat anaknya yang lain tiada masalah untuk menerima Noor Afif dan Noor Afiq sebagai darah daging mereka.

Jamaliah yang juga suri rumah menganggap penerimaan seluruh ahli keluarga sudah cukup untuk memberinya semangat tanpa terlalu mengambil pusing kata-kata masyarakat sekeliling.

“Walaupun dilahirkan sebagai anak istimewa, mereka mempunyai kelebihan tersendiri contohnya, Noor Afiq Farhan mempunyai ingatan yang kuat dan kini boleh membaca doa.

“Manakala abangnya, Noor Afif pula tahu berselawat dan bagi saya, mereka adalah anugerah yang tidak ternilai daripada Allah SWT.

“Tidak guna untuk terus bersedih sebaliknya sebagai ibu, saya perlu mencungkil kelebihan yang ada mereka tanpa memandang pada kekurangan semata-mata,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 April 2019 @ 6:30 AM