BANGUNAN UTC Pahang di Jalan Stadium. FOTO arkib NSTP
Asrol Awang

MAJLIS Perbandaran Kuantan (MPK) mengenakan caj perkhidmatan letak kereta Pusat Transformasi Bandar (UTC) Pahang bermula 2 Mei ini.

Ketua Seksyen Perhubungan Awam dan Korporat MPK, Norkamawati Kamal berkata, kadar caj itu termasuk enam peratus cukai perkhidmatan terhadap pemilik kereta yang meletakkan kenderaan mereka.

Katanya, tempoh caj itu bermula dari 7.30 pagi hingga 5 petang dari Isnin hingga Jumaat kecuali tiada caj dikenakan dari 12.15 tengah hari hingga 2.30 petang pada Jumaat.

“Kadar caj yang dikenakan ialah 55 sen bagi tempoh satu jam pertama, diikuti setiap jam berikutnya RM1.05 dan minimum sehari RM10.60 manakala Sabtu dan Ahad pula, ia adalah percuma,” katanya di Kuantan, hari ini.

Sementara itu, beliau berkata, pihak berkuasa tempatan (PBT) itu menawarkan diskaun kupon parkir harian kepada pemilik kenderaan yang akan berakhir 29 April ini.

Katanya, sekeping kupon parkir harian dijual pada RM3.20 berbanding RM3.70 manakala satu buku pada RM32 berbanding RM37.

“Orang ramai boleh membeli kupon di kaunter ibu pejabat MPK, pondok bayaran parkir dan kaunter UTC Pahang,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 April 2019 @ 10:58 AM