Zulkarnain memeriksa enjin kereta dalam Ops Tutup hari ini. FOTO Rosli Ilham


JABATAN Pengangkutan Jalan (JPJ) Terengganu mengesan taktik terbaru pemandu yang menutup dan mencabut satu huruf atau nombor pendaftaran pada plat kenderaan bagi mengelak dikenakan saman.

Pengarah JPJ Terengganu, Zulkarnain Yasin berkata, taktik itu berjaya dikesan selepas beliau terserempak dengan kereta yang berbuat demikian ketika melintasi Kamera Automated Awareness System (AWAS) di Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2), baru-baru ini.

Menurutnya, berikutan kejadian itu, beliau mengadakan mesyuarat penyelarasan bersama JPJ Terengganu, Kelantan, Pahang serta Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Terengganu kelmarin untuk menangani taktik terbaru itu.

“Kita sudah berbincang untuk mengambil tindakan kepada mereka yang berbuat demikian atas kesalahan memalsukan nombor pendaftaran.

“Kita turut menggerakkan anggota memantau kenderaan yang nombor pendaftaran diubah atau ditutup dan segera menahan mereka,” katanya selepas mengadakan Ops Tutup di Chukai hari ini.

Zulkarnain berkata, mereka yang bersalah akan dituduh mengikut Seksyen 108 Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang boleh dikenakan hukuman denda tidak kurang RM5,000 hingga RM20,000 atau penjara tidak kurang satu tahun dan tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

“Taktik terbaru itu bagi mengelak pesalah dikenakan saman memandu melebihi had laju sama ada pada kamera AWAS yang dipasang di LPT2 iaitu di kawasan Chukai dan Perasing termasuk kamera had laju yang dilakukan polis.

“Dengan menggunakan nombor palsu terbabit, ia menyukarkan JPJ dan polis mengenakan saman kepada pesalah trafik,” katanya.

Sementara itu, Zulkarnain berkata, JPJ Terengganu memeriksa 4,043 kenderaan dalam tempoh tiga bulan pertama tahun ini.

“Daripada jumlah yang diperiksa itu, 12,908 kenderaan melakukan pelbagai kesalahan termasuk tiada perlindungan, cermin gelap, lesen kenderaan motor (LKM) tamat tempoh dan sebagainya.

“Kita turut mengeluarkan 11,932 saman dan 16,521 notis kepada pemilik kenderaan terbabit,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 April 2019 @ 8:11 PM