BERNAMA

DUA lelaki masing-masing warga Nepal dan Bangladesh dijatuhi hukuman penjara serta denda oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini selepas mengaku bersalah atas tiga pertuduhan menjual pelbagai jenis barangan jenama tiruan Isnin lalu.

Hakim Manira Mohd Nor menjatuhkan hukuman itu terhadap Md Swapan Morol, 32, warga Nepal dan Nabaraj BK, 40, warga Bangladesh.

Bagi ketiga-tiga kesalahan, Swapan didenda RM6,000 atau penjara sembilan bulan manakala Nabaraj dihukum penjara tiga hari dan denda RM11,000 atau penjara sembilan bulan.

Mahkamah memerintahkan hukuman penjara tiga hari terhadap Nabaraj bermula dari tarikh tangkap pada 24 April lalu. Bagi ketiga-tiga pertuduhan, Swapan didakwa memiliki 68 unit barangan seperti beg tangan, dompet, selipar dan tali pinggang jenama tiruan iaitu Louis Vuitton, Gucci serta Chanel bernilai lebih RM3,000 di sebuah premis tidak bernombor di hadapan Hotel Malaya, Jalan Hang Lekir, Kuala Lumpur pada 1 tengah hari, 22 April lalu.

Nabaraj didakwa atas tiga kesalahan membekal dan menjual 93 unit beg tangan jenama Chanel, YSL dan Gucci bernilai lebih RM9,000 di sebuah premis tidak bernombor di hadapan Hotel Captule Town, Jalan Hang Lekir pada 3 petang, 22 April lalu.

Kedua-dua OKS didakwa mengikut Seksyen 8 (2) (c), Akta Perihal Dagangan 2011 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 8 (2) (B) akta sama yang memperuntukkan denda tidak lebih RM10,000 bagi setiap barangan yang diletakkan perihal akta dagangan palsu atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya.

Bagi kesalahan kedua atau yang berikutnya, denda tidak melebihi RM20,000 bagi setiap barang yang diletakkan perihal dagangan palsu atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya.

Terdahulu, Pegawai Pendakwa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Mohd Kamil Khirodin memohon mahkamah mengambil kira kepentingan awam demi menjaga hak pengguna di negara ini secara khususnya.

Kedua-dua tertuduh diwakili peguam P Muniswer yang memohon mahkamah mengenakan denda minimum kerana menjadi penanggung tunggal keluarga mereka.

Mereka membayar denda berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 April 2019 @ 10:05 PM
Md Swapan (tiga kiri) bersama Nabaraj BK (kanan) didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas pertuduhan menjual barangan jenama tiruan. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali
Md Swapan (tiga kiri) bersama Nabaraj BK (kanan) didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas pertuduhan menjual barangan jenama tiruan. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali
Digital NSTP Subscribe