Adly (dua dari kiri) menyampaikan sijil penghargaan kepada penggiat seni dondang sayang, Boon Kim Geok, 84, (tengah) sambil diperhatikan Mohamaddin (dua dari kanan). FOTO Khairunisah Lokman
Nurul Fhatihah Zakinan


KEMENTERIAN Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) giat berusaha mengangkat martabat empat warisan negara iaitu pantun, songket, Mek Mulung dan Wangkang ke peringkat lebih tinggi sebagai budaya dan kesenian untuk diperturunkan kepada generasi akan datang.

Menterinya, Datuk Mohamaddin Ketapi berkata, pihaknya kini berusaha mengangkat empat seni warisan itu ke peringkat antarabangsa melalui penyenaraian Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa Bersatu (UNESCO).

“Kita dalam proses mencalonkan warisan ini dan diharap ia dapat diselesaikan dalam masa terdekat,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Majlis Penyerahan Sijil Pengiktirafan Dondang Sayang oleh UNESCO kepada Kerajaan Melaka melalui Ketua Menteri, Adly Zahari serta Penganugerahan Tokoh Budaya dan Warisan negeri Melaka di Perkampungan Hang Tuah di Duyong hari ini.

Mohamaddin berkata, pihaknya juga akan memastikan persembahan dondang sayang terus dipelihara malah tidak dilupakan untuk generasi masa depan.

Katanya, pengiktirafan yang diterima daripada UNESCO terhadap dondang sayang pada Disember lalu membuktikan seni itu penting terhadap warisan tanah air malah ia juga perlu menjadi kebanggaan negara.

“Untuk memperoleh pengiktirafan daripada UNESCO itu bukannya mudah tetapi hasil kerja keras semua pihak, dondang sayang diiktiraf di peringkat antarabangsa,” katanya.

Menurutnya, kementerian juga akan sentiasa bekerjasama dengan kerajaan negeri bagi membantu mempertahankan seni dondang sayang selain bersedia membantu mempromosikan budaya tempatan itu.

Dondang sayang adalah cabang seni kedua diiktiraf oleh UNESCO pada Disember lalu selepas mak yong pada 2005.

Sementara itu, Adly berkata, gabungan pendidikan, bakat dan persembahan dondang sayang perlu diketengahkan supaya seni budaya itu dapat diwarisi turun-temurun.

“Ia dapat membantu menyumbang kepada industri pelancongan di peringkat kerajaan negeri,” katanya.

INFO

* Mek Mulung - teater tradisional masyarakat Melayu yang popular di Kedah

* Wangkang - perarakan ‘kapal wang’ mengikut kepercayaan kaum masyarakat Tionghua menangkap roh jahat yang menyebabkan ‘penyakit’ diusir dari dunia sekali gus mendoakan keamanan, keharmonian dan kemakmuran negara.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 April 2019 @ 11:03 PM