Aminuddin (tengah) bergambar bersama penerima Anugerah Siswazah Cemerlang Kelas Pertama Negeri Sembilan. FOTO Bernama
Aminuddin (tengah) bergambar bersama penerima Anugerah Siswazah Cemerlang Kelas Pertama Negeri Sembilan. FOTO Bernama
BERNAMA

SERAMAI 150 siswazah kelahiran Negeri Sembilan yang mendapat ijazah kelas pertama dalam pengajian mereka tahun lalu menerima Anugerah Siswazah Cemerlang Kelas Pertama daripada kerajaan negeri hari ini.

Masing-masing menerima wang tunai RM5,000 sumbangan Yayasan Negeri Sembilan yang disampaikan Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun dalam Majlis Siswazah Anugerah Cemerlang Kelas Pertama Yayasan Negeri Sembilan di Seremban.

Aminuddin dalam ucapannya mengingatkan anugerah atau nilai ganjaran yang diperolehi bukanlah perkara yang perlu dipentingkan sebaliknya ilmu diperolehi itu seharusnya dimanfaatkan sebaiknya kepada masyarakat.

Sambil menzahirkan rasa bangga di atas pencapaian siswazah itu, beliau turut mengajak penerima anugerah bersama-sama berganding bahu membangunkan Negeri Sembilan.

Dalam pada itu, Aminuddin berkata, kerajaan negeri menitik berat soal pendidikan dan memperkenalkan pelbagai bantuan serta inisiatif kepada murid sekolah dan penuntut Institut Pendidikan Tinggi Awam (IPTA).

Beliau berkata, antara inisiatif yang diwujudkan bagi meringankan beban keluarga berpendapatan rendah ialah Insentif Kecemerlangan Institut Pengajian Tinggi (IPT) yang mana pelajar cemerlang memperoleh RM1,000 bagi peringkat ijazah, diploma (RM750) dan sijil (RM500).

Turut disediakan ialah bantuan sara hidup RM100 bagi anak negeri yang dalam golongan berpendapatan rendah (B40), bantuan one-off persekolahan anak FELDA RM100, bantuan tambang bulanan bas sekolah RM50 dan bantuan kepada pusat tahfiz swasta, Sekolah Rendah Jenis (Cina), SJK (Tamil) serta sekolah swasta RM3 juta.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 April 2019 @ 11:38 PM
Digital NSTP Subscribe