GAMBAR hiasan
Nurul Hidayah Bahaudin


TINDAKAN nekad lelaki mengejar penjenayah yang cuba meragutnya membuahkan hasil apabila suspek berjaya ditahan selepas dikejar kira-kira 300 meter dari Jalan Masjid India ke Jalan Munshi Abdullah, di Kuala Lumpur, semalam.

Dalam kejadian 11.20 malam itu, mangsa berusia 30-an dikatakan sedang merokok di belakang kedai di Jalan Masjid India, sebelum dihampiri motosikal ditunggang lelaki dari arah belakang.

Pemangku Ketua Polis Daerah Dang Wangi Superintendan Rudy Abdullah, suspek kemudian bertindak menarik rantai emas mangsa, namun berjaya dielak mangsa menyebabkan barang kemas itu terjatuh di atas jalan.

“Suspek yang panik kemudian bertindak melarikan diri dengan memecut motosikalnya sebelum mangsa bersama abang iparnya berlari untuk mengejar suspek dan meminta bantuan anggota polis yang sedang membuat rondaan di kawasan berkenaan.

“Ketika kejadian kejar itu, suspek melanggar mangsa menyebabkan motosikal ditunggangnya terbabas. Mangsa cedera di bahagian kaki, tangan dan kepala, manakala suspek cedera di bahagian muka akibat kejadian itu,” katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Rudy berkata, semakan mendapati suspek berusia 20-an itu mempunyai dua rekod jenayah lampau membabitkan kes dadah dan samun.

“Malah, semakan mendapati motosikal Y15ZR digunakan suspek dalam kejadian itu dilaporkan hilang sebelum ini. Kami turut merampas topi keledar, dua telefon bimbit, sarung tangan, alat penimbang, ‘walkie-talkie’, pisau serta beg yang mengandungi pelbagai alat dipercayai digunakan untuk kegiatan mencuri motosikal.

“Permohonan reman terhadap suspek akan dibuat hari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 April 2019 @ 11:49 AM