PASUKAN ‘Oils Spill Response’ Jabatan Laut Wilayah Selatan (Johor) menjejaki sisa tumpahan minyak menggunakan kapal Al Tair di perairan Tanjung Balau, Desaru, 24 April lalu. FOTO ihsan Jabatan Laut Johor
Nurul Fhatihah Zakinan


JABATAN Laut Malaysia sudah mengenalpasti kapal tangki yang dipercayai menyebabkan tumpahan kira-kira 300 tan minyak bahan api marin sepanjang 10 kilometer (km) di perairan Tanjung Balau dan Batu Layar, 17 April lalu.

Ketua Pengarah Jabatan Laut Malaysia, Datuk Baharin Abdul Hamid, berkata kapal yang dikesan itu tidak berada di perairan negara berdasarkan kaedah penyiasatan elektronik melalui satelit AIS (S-AIS) dan sistem lalu lintas kapal (VTS).

“Kita sudah kenal pasti kapal yang melakukan insiden demikian dan kini dalam proses penyiasatan. Sebaik dikenal pasti, kita minta Jabatan Alam Sekitar (JAS) untuk dapatkan sampel minyak (daripada kapal) dan siasat lebih mendalam.

“Selepas itu, kita akan minta kerjasama daripada negara di mana kapal itu berada untuk siasat dan dakwa,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyampaikan anugerah kepada 191 graduan sijil dan diploma di Majlis Konvokesyen Akademi Laut Malaysia (ALAM) Ke-120 di Kuala Sungai Baru, hari ini.


BAHARIN (tiga kiri) beramah mesra dengan graduan Akademi Laut Malaysia (ALAM) pada Majlis Konvokesyen ke-120. FOTO Khairunisah Lokman

Katanya, operasi pembersihan sisa buangan minyak sudah ditamatkanberikutan tiada lagi kesan tompokan ditemui selain keadaan kembali pulih.

Pemantauan Jabatan Laut Wilayah Selatan sebelum ini menemui tompokan tumpahan kira-kira 300 tan minyak bahan api marin sepanjang 10 km di perairan Tanjung Balau dan Batu Layar, 17 April lalu.

Jabatan itu dilaporkan percaya tumpahan itu berpunca daripada aktiviti pembuangan sisa oleh kapal tangki asing yang melalui perairan berkenaan

Sementara itu, Baharin berkata, pihaknya sedang berusaha menambah jumlah tenaga kerja di bidang itu melalui pelan lima tahun 2018-2022 dengan mempromosi pekerjaan berpendapatan tinggi.

“Berdasarkan statistik, hanya 50 peratus daripada 20,000 adalah pelaut negara, selebihnya tenaga kerja asing. Jadi kita sedang tingkatkan jumlah pelaut negara dengan promosi karier yang bergaji lumayan ini. Kapten kapal gaji sahaja mencecah USD10,000,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 April 2019 @ 6:50 PM