ANGGOTA HAZMAT memeriksa lokasi kejadian. FOTO Ihsan Bomba
Junaidi Ladjana


SEORANG pekerja sebuah syarikat membaiki dan menyelenggara bot nelayan maut, manakala seorang lagi kritikal selepas terhidu gas beracun di Jalan Lubok Poring, Sepanggar, dekat Kota Kinabalu, hari ini.

Mangsa Hasril La Ridi, 42, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian dan mangsa dikenali sebagai Eni, 31, kini menerima rawatan di Hospital Likas.

Kedua-dua mangsa warga Indonesia.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, sebaik menerima panggilan kecemasan jam 12.03 tengah hari, pasukan Unit Bahan Berbahaya (HAZMAT) dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) dengan menaiki tiga jentera digerakkan ke lokasi kejadian.

“Hasil pemeriksaan mendapati dua mangsa pengsan selepas terhidu gas beracun ketika membuka tong simpanan ikan lama di kawasan berkenaan.

“Seorang pekerja disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan, manakala seorang lagi mangsa dilaporkan kritikal dan dibawa ke hospital untuk rawatan lanjut,” katanya, hari ini.

Menurutnya, pasukan HAZMAT menjalankan operasi bagi mengenal pasti jenis gas beracun itu dan hasil daripada ujian yang dijalankan tidak terdapat sebarang tanda gas ammonia dilaporkan.

“Setakat ini jenis gas belumdapat dikenal pasti dan operasi tamat sepenuhnya pada jam 2.30 petang.

“Mayat mangsa yang maut diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 April 2019 @ 7:03 PM